SHAH ALAM, 27 OKT: Polis merampas 9,257 unit produk kesihatan, kosmetik dan barangan berjenama disyaki tiruan bernilai RM765,750 dalam Op Taring Dosej di sebuah premis syarikat kurier dan logistik di Kuala Lumpur, semalam.
Operasi bermula jam 10.50 pagi itu dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Kuala Lumpur dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya.
Komander WCB/PSK JKDNKA Datuk Mohd Zaki Ashar berkata pemeriksaan dijalankan bagi mengesan aktiviti penyimpanan serta pengedaran barangan yang menyalahi undang-undang.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing berusia 23 dan 29 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pekerja pembungkusan di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor KOSMO! ONLINE.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut menemukan 9,130 unit produk kesihatan dan kosmetik pelbagai jenama yang disyaki tidak berdaftar serta 127 unit barangan berjenama Adidas, Coach dan Tory Burch yang disyaki menggunakan cap dagangan tiruan.
Katanya, nilai rampasan produk kesihatan dan kosmetik dianggarkan RM734,000 manakala barangan berjenama pula bernilai RM31,750.
“Kes produk kesihatan dan kosmetik disiasat di bawah Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 18A, Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, manakala kes barangan berjenama disiasat mengikut Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019,” katanya.
Mohd Zaki berkata dua lelaki warga asing terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman melaksanakan 286 serbuan di seluruh negara sepanjang 1 Januari hingga 26 Oktober lalu.
Katanya, 467 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh berkenaan dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM335.96 juta.







