Selangor cipta sejarah, kutipan hasil 2025 cecah RM3 bilion

31 Dis 2025, 12:00 PM
Selangor cipta sejarah, kutipan hasil 2025 cecah RM3 bilion
Selangor cipta sejarah, kutipan hasil 2025 cecah RM3 bilion

SHAH ALAM, 31 DIS: Kerajaan Selangor mencatat sejarah apabila berjaya mencapai kutipan hasil berjumlah RM3 bilion bagi tahun 2025, tertinggi pernah direkodkan negeri itu.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pencapaian itu merupakan khabar gembira pada hari terakhir tahun 2025, hasil usaha bersama semua pihak dalam memastikan pengurusan kewangan negeri kekal mampan.

“Alhamdulillah. Di hari akhir tahun 2025 sukacita saya ingin sampaikan khabar gembira bahawa Kerajaan Negeri telah berjaya mencapai kutipan hasil berjumlah RM3 bilion. Jumlah ini merupakan tertinggi dalam sejarah Selangor.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua. Insya-Allah, kita akan bekerja lebih kuat agar Selangor maju lebih hebat di tahun 2026,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook hari ini.

Pencapaian itu mencerminkan keupayaan pentadbiran negeri mengurus sumber kewangan secara berhemah meskipun berdepan cabaran ekonomi global.

Selangor sebelum ini dikenali sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara, dengan sektor perindustrian, perkhidmatan, perdagangan dan pelaburan asing menjadi pemacu utama hasil negeri.

Kutipan hasil yang kukuh ini dijangka membolehkan Kerajaan Negeri meneruskan pelbagai agenda pembangunan rakyat pada tahun depan, termasuk pelaksanaan program kebajikan, pembangunan infrastruktur serta inisiatif meningkatkan kesejahteraan sosial.