SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan Negeri sedang menyusun pelaksanaan elaun latihan amali sehingga RM1,500 menerusi program penempatan latihan industri.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan itu bagi menggalakkan pelajar melakukan latihan amali bersama agensi-agensi Kerajaan Negeri termasuk di pejabat EXCO.
"Program penempatan latihan industri sedang dilakukan dengan elaun sehingga RM1,500... itu kita sedang susun semula dan juga program galakan pelajar luar negara menerima biasiswa negeri untuk kembali ke Selangor.
"Kita sedang siapkan program ini untuk pelajar-pelajar luar negara yang diperlukan industri dengan tajaan biasiswa Selangor dan juga program-program tajaan Kerajaan Negeri untuk lakukan latihan di pejabat EXCO dan anak syarikat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata capaian anak syarikat di Selangor mempunyai keperluan program latihan industri antaranya sektor tenaga, perangsang dan perkhidmatan.
"Dengan kepelbagaian sektor lebih tertarik untuk terus berkhidmat dengan Kerajaan Negeri," katanya.
Sebelum ini, menerusi pembentangan Belanjawan 2026, Amirudin berkata Kerajaan Negeri komited dalam memberikan elaun latihan amali sebanyak RM1,500 sebulan kepada pelajar yang mengikuti latihan amali.
Katanya, program latihan amali yang sedia ada hanya memberikan elaun yang kurang berpatutan kepada mahasiswa serta graduan sekadar RM800 sehingga RM900 sebulan sahaja.







