SHAH ALAM, 9 JAN: Mayat wanita warga emas ditemui terapung di kolam tadahan air hujan di Seksyen U11, Bukit Bandaraya, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu jam 11.30 pagi hasil laporan orang awam yang memancing di kawasan berkenaan.
Beliau berkata sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan mengeluarkan mayat mangsa.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan wanita warga tempatan berusia lingkungan 70-an dan dipercayai penduduk yang tinggal di taman perumahan berhampiran lokasi kejadian.
“Pemeriksaan juga mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih 48 jam sebelum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, pada hari sama kira-kira jam 6 petang, pihak polis dihubungi ahli keluarga mangsa yang memaklumkan wanita berkenaan adalah kakak mereka dan tinggal bersendirian di kawasan berhampiran.
Beliau berkata proses bedah siasat dijalankan pada jam 9 pagi Rabu di Hospital Shah Alam dan dihadiri ahli keluarga bagi tujuan pengecaman.
“Identiti mangsa telah disahkan dan jenazah dituntut keluarga. Punca kematian masih menunggu laporan lengkap makmal,” katanya.
Ramsay berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Izzman Mohd Idrus di talian 013-400 3355.


