SHAH ALAM, 30 JUL: Pendekatan membina bandar daya tahan lebih sesuai di Selangor bagi menangani corak hujan ekstrem dalam jangka panjang berbanding pelaksanaan projek tebatan banjir.
Menurut Pensyarah Perancang Bandar dan Wilayah/Pembangunan Komuniti dari Universiti Putra Malaysia (UPM) PLC Gs Ts Dr Mohammad Mujaheed Hassan, pembangunan bandar perlu berubah, bukan hanya mengurus banjir.
Beliau menjelaskan perubahan itu perlu kerana pendekatan konvensional biasanya tertumpu untuk mengawal aliran air melalui longkang, tembok, pam dan pengalihan sungai.
Katanya, pendekatan bandar berdaya tahan pula memastikan bandar kurang terdedah, berupaya menyerap air dan terus berfungsi semasa hujan dan cepat pulih meski berlaku hujan ekstrem.

Dr Mohammad Mujaheed menjelaskan PLANMalaysia dan Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 ada memuatkan prinsip bandar berdaya tahan, pengurusan risiko bencana dan adaptasi perubahan iklim.
"Cabarannya ialah menterjemah prinsip tersebut menjadi syarat nyata dalam rancangan tempatan, kebenaran merancang, pelan kejuruteraan dan peruntukan pembangunan," katanya.
Menurut beliau, konsep bandar span, taman tadahan air dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi sesuai di Selangor tetapi perlu disesuaikan dengan iklim tropika serta keadaan tempatan.
Beliau mencadangkan tindakan di Selangor antaranya taman awam dijadikan kawasan takungan sementara, kolam takungan berbentuk taman rekreasi, turapan telap dan pemulihan rizab sungai.
Dr Mohammad Mujaheed memberitahu langkah itu boleh menurunkan suhu bandar, menambah biodiversiti, membaiki mutu air, menyediakan ruang rekreasi seterusnya meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Katanya, pelaksanaannya juga boleh dimulakan di bandar lama yang padat secara berperingkat melalui sekolah, parkir, jalan, tanah kerajaan, rizab sungai dan pembaharuan semula bandar.
"Tidak semestinya memerlukan satu kawasan yang sangat luas, rangkaian kemudahan kecil yang disambungkan secara sistematik juga boleh memberi kesan kumulatif," katanya.
Tebatan banjir
Beliau mengakui projek tebatan banjir mengurangkan risiko tetapi ia tidak menghapus banjir sepenuhnya sebaliknya banjir kilat berlaku atas beberapa faktor yang berlaku serentak.
Katanya, bencana tersebut berulang walaupun pelbagai projek tebatan dan naik taraf saliran siap dibina ekoran kebanyakan projek bersifat setempat atau reaktif.
Selain itu, katanya, sistem saliran sebenarnya ada had dari segi reka bentuk iaitu jika hujan melebihi tempoh ulangan yang digunakan dalam sesebuah reka bentuk, air boleh melimpah.
"Hujan konvektif (lebat mengejut) di kawasan bandar pula lazimnya sangat lebat, tertumpu dan berlaku dalam tempoh pendek, menyebabkan kadar air masuk ke sistem melebihi keupayaan longkang, pembetung dan pam," katanya.
Menurut Dr Mohammad Mujaheed, kajian METMalaysia mengenai hujan ekstrem bandar mendapati musibah itu sukar diramal dan berkait rapat dengan intensiti hujan yang tinggi dalam tempoh singkat.
Katanya, sistem saliran di Selangor bukan tidak mencukupi tetapi kapasiti sebahagian sistem semakin tertekan dan mungkin mampu memberi tahap perlindungan sama seperti ketika mula dibina.
"Sebuah longkang mungkin masih berada dalam keadaan fizikal yang baik tetapi tidak lagi mencukupi kerana kawasan tadahannya berubah daripada separa hijau kepada pembangunan berketumpatan tinggi.
"Tambahan pula, banjir kilat tidak semestinya berpunca daripada longkang kecil. Bottleneck (kesesakan aliran) mungkin terletak pada pembetung bawah jalan, lintasan sungai, pintu air, rumah pam atau saluran utama beberapa kilometer di hilir," katanya.
Beliau memberi contoh longkang diperbesar atau pam dipasang di satu lokasi berisiko bah tetapi aliran air dari hulu, misalnya tidak ditangani menyeluruh menyebabkan ia berpindah ke hilir.









