SHAH ALAM, 10 NOV: Seorang mangsa kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu ditemukan lemas awal pagi tadi, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh lagi mangsa masih diteruskan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar mengesahkan mangsa yang ditemukan ialah lelaki tempatan.
"Mangsa ditemukan di kawasan Jambatan Pertak pada jam 1.30 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi SAR diteruskan pagi ini dengan kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor.
"Sektor A meliputi kawasan dari Lata Jebus ke Lubuk Pertak, manakala Sektor B dari Lubuk Pertak ke Jambatan Dam.
"Sektor C membabitkan kawasan Jambatan Dam, manakala Sektor D di kawasan empangan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian kira-kira 5.55 petang semalam, lapan mangsa terdiri daripada seorang warga Yaman, seorang warga tempatan, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus.








