Tragedi Sungai Pertak: Bomba saran tangguh aktiviti riadah musim monsun

10 Nov 2026, 12:15 PM
Tragedi Sungai Pertak: Bomba saran tangguh aktiviti riadah musim monsun
Tragedi Sungai Pertak: Bomba saran tangguh aktiviti riadah musim monsun
Tragedi Sungai Pertak: Bomba saran tangguh aktiviti riadah musim monsun
Tragedi Sungai Pertak: Bomba saran tangguh aktiviti riadah musim monsun
Tragedi Sungai Pertak: Bomba saran tangguh aktiviti riadah musim monsun

SHAH ALAM, 10 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatkan orang ramai menangguhkan sebarang aktiviti riadah di kawasan sungai, air terjun dan tali air sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 susulan risiko kejadian kepala air yang boleh meragut nyawa.

JBPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, nasihat itu turut meliputi aktiviti mandi-manda, berenang, berkelah dan berkhemah berikutan keadaan cuaca tidak menentu serta hujan lebat berterusan di beberapa kawasan.

Menurutnya, keadaan itu berpotensi menyebabkan paras air meningkat secara mendadak, arus deras dan kejadian kepala air yang mengancam keselamatan pengunjung.

"Fenomena kepala air boleh berlaku dalam sekelip mata, jangan tunggu sehingga air menjadi deras untuk bertindak. Keselamatan nyawa hendaklah sentiasa menjadi keutamaan," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai diminta sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

JBPM turut mengingatkan orang ramai supaya segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya berlaku kecemasan serta memberikan maklumat lokasi kejadian kepada pasukan penyelamat.

Amaran itu dikeluarkan susulan tragedi kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor semalam yang mengakibatkan lapan individu dihanyutkan arus deras ketika melakukan aktiviti rekreasi dan pendakian.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.55 petang itu, lapan mangsa terdiri daripada seorang warga Yaman, seorang warga tempatan, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus.

Pagi tadi, empat lagi mangsa ditemukan lemas, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemukan meningkat kepada lima orang, manakala tiga lagi masih hilang.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata tiga daripada mangsa ditemukan tersekat di kawasan Jambatan Senget berhampiran Camp Site Sungai Luit kira-kira jam 9.20 pagi.

Sementara itu, seramai 26 individu yang terkandas di sekitar lokasi kejadian berjaya diselamatkan pasukan penyelamat.

JBPM turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan sungai dan hutan, khususnya sepanjang musim monsun.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.