Isu hampir 100 pekerja Media Mulia, termasuk wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! yang terkesan susulan langkah penyusunan semula organisasi membuka persoalan lebih besar tentang masa depan industri media.
Adakah ini sekadar masalah organisasi yang berdepan tekanan kewangan, atau sebenarnya mencerminkan krisis struktur yang melanda industri media secara keseluruhan?
Untuk itu, kita perlu melihat semula hubungan antara media, masyarakat dan budaya membaca. Ini kerana kemerosotan jualan akhbar tidak semestinya bermaksud masyarakat semakin kurang membaca.
Malah, beberapa data menunjukkan perkembangan yang berbeza.
Berdasarkan Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023, purata buku yang dibaca meningkat daripada dua pada 2005 kepada 24 naskhah pada 2023. Daripada itu, 16 ialah buku bercetak manakala lapan lagi buku digital. Ini menunjukkan budaya membaca masih berkembang walaupun cara masyarakat mendapatkan bahan bacaan telah berubah.
Perkembangan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 turut memberi gambaran menarik. Lebih 1.7 juta pengunjung direkod berkunjung ke acara itu, dengan lebih 60 peratus berusia bawah 40 tahun. Angka ini menunjukkan minat terhadap buku masih mempunyai tempat, termasuk generasi muda.
Pada peringkat antarabangsa, data NielsenIQ dan GfK bagi tahun 2025 menunjukkan hasil jualan meningkat meliputi 12 daripada 19 pasaran. Walaupun prestasi pasaran berbeza mengikut negara dan kategori, perkembangan ini memperlihat industri buku mempunyai permintaan ketara.
Justeru, kita perlu membezakan dua perkara: budaya membaca dan budaya membaca akhbar.
Masyarakat masih membaca, tetapi mungkin tidak lagi membaca seperti dahulu. Mereka membeli buku, membaca e-buku, mengikuti penulis melalui media sosial dan mendapatkan bahan bacaan mengikut minat serta keperluan masing-masing.
Di sinilah industri media perlu memahami perubahan tingkah laku masyarakat.
Buku dan akhbar mempunyai fungsi berbeza. Buku menawarkan pembacaan lebih mendalam, tersusun dan bersifat jangka panjang. Akhbar pula secara tradisinya medium mendapatkan berita dan perkembangan semasa.
Namun, fungsi mendapatkan berita banyak berpindah ke telefon pintar. Facebook, TikTok, Instagram, YouTube, portal berita dan aplikasi pesanan segera mengubah cara maklumat dicari, diterima dan dikongsi.
Jika berita sama boleh diperoleh percuma melalui telefon, apakah alasan kuat untuk seseorang membeli akhbar bercetak?
Ini bukan bermakna masyarakat tidak memerlukan berita. Sebaliknya, permintaan terhadap maklumat masih wujud, tetapi cara mengaksesnya berubah. Perubahan ini memberi kesan langsung kepada model perniagaan organisasi media konvensional.
Hasilkan pendapatan
Organisasi media beroperasi dalam dua pasaran utama iaitu pasaran pembaca dan pasaran pengiklan. Pendapatan diperoleh melalui jualan akhbar, langganan digital, pengiklanan, penajaan dan pelbagai bentuk kerjasama komersial.
Namun, jumlah pembaca yang besar tidak menjamin pendapatan mencukupi. Dalam ekosistem digital, organisasi media bukan sahaja bersaing sesama sendiri, malah bersaing mendapatkan perhatian audiens dan perbelanjaan pengiklanan yang turut dikuasai platform teknologi.
Mungkin krisis industri media bukan semata-mata soal permintaan terhadap berita tetapi krisis keupayaan organisasi media menukar permintaan kepada pendapatan yang mampu menampung kos operasi.
Bagaimanapun, media tidak boleh hanya dilihat sebagai entiti perniagaan.
Media ada tanggungjawab sosial yang besar dalam masyarakat demokratik. Ia menyampaikan suara rakyat, mendedahkan kelemahan institusi, memantau kerajaan dan menyediakan maklumat yang membantu masyarakat membuat penilaian secara rasional.
Fungsi ini menjadikan kelangsungan media berkualiti sebagai kepentingan awam, bukan sekadar kepentingan pemilik syarikat atau pekerjanya.
Atas sebab itu, transformasi industri media perlu melangkaui langkah mengurangkan kos dan tenaga kerja. Organisasi perlu menilai semula keupayaan modal insan yang dimiliki.
Wartawan dan pekerja media perlu diperkasa dengan kemahiran baharu seperti kewartawanan data, penghasilan kandungan multimedia, penceritaan digital, penggunaan kecerdasan buatan serta pengesahan maklumat dalam persekitaran yang terdedah kepada kandungan palsu dan manipulasi digital.
Latihan semula, peningkatan kemahiran dan penempatan semula pekerja perlu diberi perhatian. Teknologi sepatutnya meningkatkan keupayaan manusia menghasilkan kerja berkualiti, bukan semata-mata alasan mengurangkan tenaga kerja.
Kerajaan juga ada peranan dalam membina ekosistem media lebih mampan. Sokongan boleh diberi melalui insentif percukaian, geran transformasi digital, latihan teknologi, pembangunan infrastruktur dan dana kewartawanan berkepentingan awam.
Namun, bantuan itu mestilah telus, berkecuali dan tidak dijadikan instrumen mempengaruhi kebebasan editorial. Kerajaan berperanan sebagai pemudah cara, bukan mengambil alih tanggungjawab komersial organisasi media.
Tetapi semua usaha ini masih belum menyentuh persoalan paling asas yang perlu diberi perhatian oleh industri media.
Dalam era digital, “tools” bukan sekadar peralatan menghasilkan kandungan. Ia merangkumi teknologi pengedaran berita, pengurusan data pembaca, analisis audiens, sistem pengiklanan, kaedah monetisasi dan teknologi penghasilan kandungan.
Hari ini, organisasi media menghasilkan berita, tetapi platform teknologi menguasai sebahagian besar saluran pengedaran, algoritma dan data pengguna.
Kita menghasilkan kandungan, tetapi orang lain menentukan bagaimana kandungan itu ditemui dan disebar. Kita membina audiens, tetapi data dan hubungan dengan audiens sebahagian besarnya dalam ekosistem platform pihak lain.
Facebook, TikTok, YouTube dan pelbagai platform digital bukan sekadar saluran tambahan untuk organisasi media. Mereka ialah pemain teknologi yang berkeupayaan mengawal infrastruktur, pengedaran dan perhatian pengguna.
Masalahnya, organisasi media tempatan banyak bergantung kepada “tools” yang dibangunkan dan dimiliki pemain teknologi tersebut. Kita menjadi pengguna kepada teknologi orang lain, sedangkan keupayaan membangunkan sistem, platform dan ekosistem sendiri perlu diperkukuh.
Ini bukan bermakna setiap organisasi media perlu mencipta platform sosial baharu untuk bersaing. Sebaliknya, mereka perlu menguasai teknologi yang ada hubungan langsung dengan pembaca, memiliki data audiens sendiri, membangunkan sistem langganan, mempelbagai pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada perubahan algoritma pihak ketiga.
Dalam ekonomi digital, kelebihan bukan lagi terletak pada siapa paling banyak menghasilkan berita, tetapi siapa yang menguasai teknologi dan ekosistem untuk mengedar serta menjana nilai kandungan tersebut.
Justeru, persoalan masa depan industri media tidak sepatutnya terhenti pada bagaimana kita mahu menyelamatkan akhbar atau mengekalkan pekerjaan.
Persoalan lebih besar ialah bagaimana kita mahu membina keupayaan industri media untuk menguasai teknologi, bersaing dalam ekonomi digital dan menentukan masa depannya sendiri.
Budaya membaca tidak semestinya sedang mati. Tetapi industri media gagal memahami perubahan budaya membaca dan menguasai teknologi baharu berisiko kehilangan tempat dalam kehidupan masyarakat.
Kita tidak boleh selama-lamanya hanya menjadi pengeluar kandungan dalam ekosistem yang dikuasai oleh orang lain.
*Darma Sari merupakan seorang pengamat seni dan budaya tanah air









