KUALA LUMPUR, 28 OKT: Kemerosotan budaya membaca dan menelaah serta kedangkalan pemikiran dalam era arus digital masa kini merupakan cabaran mendesak yang boleh mengancam masa depan peradaban, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi perkongsian di Facebook hari ini, Perdana Menteri menzahirkan perkara itu selepas beliau meluangkan masa menekuni karya terbaharu tulisan James Marriott bertajuk “The New Dark Ages: The End of Reading and the Dawn of a Post-Literate Society”.
Beliau berkata ancaman kepada peradaban bukan semata-mata soal hilangnya akses kepada ilmu, malahan berlaku lambakan, tetapi berpunca daripada lunturnya kecintaan dan kesabaran masyarakat untuk membaca, merenung, dan berfikir secara kritis dan mendalam.
"Kita mungkin semakin kaya dengan maklumat, namun miskin dan papa dalam kebijaksanaan, justeru, persoalannya bukan sekadar apakah manusia masih membaca, tetapi apakah manusia masih mahu berfikir," kata beliau.
Mengimbau sejarah, Anwar berkongsi mengenai penghormatan masyarakat terhadap tradisi ilmu dan kesusasteraan ketika pemergian pujangga besar Perancis Victor Hugo pada 1885, yang menyaksikan kira-kira dua juta manusia berhimpun di Paris bagi memberikan penghormatan terakhir.
Beliau berkata situasi sama berlaku sewaktu pemergian sasterawan tersohor Fyodor Dostoevsky pada 1881, apabila puluhan ribu rakyat mengiringi di Saint Petersburg, dan hal berkenaan secara tidak langsung membuktikan masyarakat ketika itu menyanjung tinggi kesusasteraan, budaya, tradisi ilmu dan pemikiran.
"Kedua-dua mereka bukan daripada kalangan raja mahupun panglima perang yang menang perang, tetapi tokoh dan sarjana yang pemikirannya telah meresap jauh ke dalam jiwa dan sanubari masyarakat," kata beliau.
-- BERNAMA







