Setiap perkahwinan pasti diuji, namun kebersamaan suami isteri kunci utama dalam mengharungi cabaran berumah tangga tanpa membiar konflik meruntuhkan institusi kekeluargaan.
Menurut Ketua Unit Pengurusan Masjid Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, masyarakat perlu memahami ujian perkahwinan adalah fitrah kehidupan dan tidak wajar dianggap kegagalan.
"Rumah tangga pasti akan diuji, itu fitrah. Badai yang datang bukan bermaksud rumah tangga itu gagal, tetapi bagaimana suami isteri memilih untuk menghadapinya bersama.
"Ujian tidak boleh ditolak, namun apabila pasangan memilih untuk saling menyokong, bertolak ansur dan ketepi ego, setiap konflik akan temui penyelesaian," kata Norfahmi Muhamad Zazly.
Beliau berkata demikian dalam sesi bicara bertajuk Reset Rumah Tangga: Dari Badai Menjadi Pelangi sempena Karnival Agensi Islam Selangor 2026 di Masjid Cahaya Iman Country Homes pada 29 Jun.

Menurut Norfahmi, kebersamaan dan persefahaman suami isteri menjadi benteng utama dalam berdepan ujian rumah tangga yang tidak mungkin dapat dielak sepanjang melayari perkahwinan.
Menyifatkan perkahwinan sebagai ibadah yang panjang, beliau berkata setiap pasangan diseru tidak cepat berputus asa atau menganggap rintangan sebagai pengakhiran rumah tangga.
"Kita tidak boleh tolak ujian, tetapi kebersamaan bantu kita melalui ujian itu. Apabila suami dan isteri bergerak seiring, insya-Allah badai yang datang dapat dilalui dengan lebih tenang.
"Selagi suami dan isteri memilih untuk bersama, mengetepikan ego dan mencari reda Allah, insya-Allah akan ada jalan untuk kembali kepada ketenangan,” katanya.
Norfahmi menjelaskan ketenangan atau sakinah yang dicari dalam rumah tangga tidak hadir tanpa cabaran, sebaliknya anugerah Allah kepada pasangan yang sabar menghadapi ujian.
"Sakinah ialah ketenangan yang Allah berikan selepas kita diuji. Untuk memperoleh ketenangan itu, pasangan perlu bersabar dan terus berusaha mempertahankan rumah tangga.
“Bahagia itu tidak datang dengan membandingkan kehidupan kita dengan orang lain, tetapi ia dibina melalui usaha bersama dan pergantungan kepada Allah,” katanya lagi.

Suami wajar ketepi ego, utamakan jalan damai
Golongan suami disaran memulakan usaha perdamaian apabila berdepan konflik rumah tangga selaras tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga yang ditetapkan dalam Islam.
Ketua Unit Pengurusan Masjid Pejabat Agama Islam Daerah Petaling berkata ia bertepatan dengan kedudukan lelaki sebagai pemimpin keluarga seperti dijelaskan dalam Surah An-Nisa'.
Menurut Norfahmi Muhamad Zazly, kekuatan sesebuah perkahwinan bergantung kepada kesediaan pasangan mengetepikan ego untuk memperbaiki keadaan demi kesejahteraan rumah tangga.
"Allah meletakkan lelaki sebagai pemimpin keluarga. Sebagai pemimpin, suami bukan sekadar memberi nafkah, tetapi bertanggungjawab melindungi isteri dan anak-anak, termasuk memastikan institusi keluarga terus terpelihara.
"Kalau sebagai pemimpin kita nampak keadaan sudah tidak baik, kita tidak boleh bertangguh. Suami perlu menjadi orang pertama mengambil langkah untuk berdamai," katanya.
Beliau memberitahu usaha itu penting berikutan konflik yang dibiarkan berpanjangan bukan sahaja menjarakkan hubungan suami isteri, malah memberi kesan mendalam kepada anak-anak.
"Ada kes pasangan tinggal serumah bertahun-tahun, 10 tahun pun ada tetapi tidak bercakap antara satu sama lain. Anak-anak membesar dalam suasana 'silent war' dan akhirnya mereka menjadi mangsa kepada konflik ibu bapa.
"Apabila ada perselisihan, ingatlah ada mata-mata kecil yang sedang memerhati. Apa yang berlaku antara suami isteri akan meninggalkan kesan kepada emosi dan perkembangan anak," katanya.







