Di sebalik enam jam terlerainya ikatan suami isteri

10 Nov 2026, 9:00 AM
Di sebalik enam jam terlerainya ikatan suami isteri
Di sebalik enam jam terlerainya ikatan suami isteri
Di sebalik enam jam terlerainya ikatan suami isteri

Tiada pasangan yang melangkah ke alam perkahwinan akan membayangkan ikatan yang dibina atas dasar kasih sayang akhirnya terlerai di mahkamah.

Namun, tidak semua rumah tangga mampu bertahan. Ada hubungan yang diuji masalah kewangan, salah faham dan pertelingkahan berpanjangan sehingga buntu mencari penyelesaian.

Bagi sesetengah pasangan, keputusan berpisah bukan dibuat dalam sekelip mata. Di sebalik persetujuan itu, mungkin tersimpan kekecewaan setelah berusaha menyelamatkan perkahwinan.

Apabila suami isteri itu akhirnya memilih haluan masing-masing, proses perceraian yang berlarutan hanya menambah tekanan emosi, masa dan kos.

Atas keperluan itu, Mahkamah Syariah Selangor menyediakan proses cerai secara Fast Track yang membantu pasangan menyelesaikan perceraian pada hari sama, tertakluk kepada syarat tertentu.

Ketua Hakim Syarie Selangor Nenney Shuhaidah Shamsuddin melihat pendekatan itu membantu pasangan yang mencapai persetujuan bersama, bukan pula bertujuan memudahkan perceraian tanpa penelitian.

“Kalau orang memang mahu bercerai dan kedua-duanya sudah setuju, kenapa kita hendak tahan? Kerja mahkamah adalah menyelesaikan perkara yang dibawa oleh pihak berkaitan.

“Kadang-kadang apabila mereka datang ke mahkamah, keputusan itu bukan dibuat sehari dua. Mungkin sudah lima atau enam tahun mereka simpan, sudah minta nasihat dan fikir banyak kali. Apabila sampai ke mahkamah, itu mungkin keputusan terakhir mereka,” katanya kepada Media Selangor.

Ketua Hakim Syarie Selangor Nenney Shuhaidah Shamsuddin

Permudah tatacara

Melalui Fast Track, pasangan yang memenuhi syarat boleh menyelesaikan urusan perceraian termasuk mendapatkan perintah mahkamah dalam tempoh sekitar enam jam.

Proses bermula seawal jam 8 pagi apabila suami dan isteri hadir bersama dengan dokumen lengkap sebelum permohonan diberi keutamaan untuk didengari hakim.

Kedua-dua pihak perlu bersetuju untuk bercerai, manakala isteri mesti memenuhi ketetapan hukum berkaitan sebelum lafaz talak dibuat.

Berbanding proses biasa yang melibatkan pendaftaran, penetapan tarikh sebutan dan prosiding susulan, pendekatan ini mengurangkan keperluan pasangan hadir berulang kali ke mahkamah.

Bagi Nenney Shuhaidah, kemudahan tersebut membantu golongan bekerja yang sukar mengambil cuti, lebih-lebih lagi jika ketidakhadiran boleh menjejaskan pendapatan mereka.

“Kalau orang bekerja, cuti pun susah dan mungkin ada yang dipotong gaji. Jadi hari sama datang, selesai. Kita mahu jimatkan masa, kos dan mengurangkan tekanan emosi,” jelasnya.

Tempoh enam jam itu juga berpotensi dipendekkan kepada tiga atau empat jam pada masa depan jika keadaan mengizinkan dan mahkamah memiliki bilangan pegawai mencukupi.

Sambutan terhadap Fast Track semakin meningkat apabila sebanyak 14,794 kes direkod di Selangor sepanjang 2022 hingga 2025.

Daripada 3,076 kes pada 2022, jumlah itu meningkat kepada 3,436 pada 2023, diikuti 3,763 pada 2024 sebelum mencecah 4,519 kes tahun lalu.

Setakat Ogos tahun ini, sebanyak 2,980 permohonan diterima, manakala antara satu hingga lima permohonan secara hadir terus, lazimnya dikemukakan setiap hari.

Pada pandangan Nenney Shuhaidah, peningkatan itu menunjukkan masyarakat semakin mengetahui kewujudan Fast Track sebagai pilihan apabila pasangan sudah sepakat untuk berpisah.

Ia juga membantu menepis tanggapan bahawa mahkamah sengaja melambatkan kes perceraian, sedangkan setiap permohonan perlu melalui penelitian mengikut syarat dan tatacara ditetapkan.

Grafik Farah Azila Mustapha

Bermula konflik kecil

Di sebalik peningkatan kes, pengalaman Nenney Shuhaidah mengendalikan pertikaian rumah tangga memperlihat betapa keretakan hubungan tidak semestinya berpunca daripada masalah besar.

Faktor yang sering ditemui antaranya kewangan dan komunikasi, terutama apabila pasangan gagal mencapai persefahaman mengenai tanggungjawab masing-masing.

Masalah kewangan bukan hanya berlaku dalam keluarga berpendapatan rendah. Pasangan yang ada pekerjaan tetap dan pendapatan stabil juga berdepan konflik jika pembahagian perbelanjaan tidak dibincang dengan jelas.

Nenney Shuhaidah mengambil contoh suami dan isteri yang masing-masing memperoleh gaji RM5,000 sebulan, tetapi seorang daripadanya berasa terlalu banyak wang digunakan untuk keperluan keluarga sedangkan pasangannya masih mampu menyimpan.

Perbezaan itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati apabila kedua-duanya mempunyai jangkaan berlainan mengenai tanggungjawab kewangan. Keadaan menjadi lebih rumit apabila pasangan tidak berterus terang dan membiarkan perasaan tersebut dipendam terlalu lama.

“Kadang-kadang alasan yang keluar nampak sangat kecil. Tetapi apabila digali, sebenarnya bukan perkara kecil itu yang menjadi punca. Ada perasaan lama yang dipendam.

“Komunikasi yang tidak baik menyebabkan pergaduhan, salah faham dan akhirnya boleh menyumbang kepada perceraian,” katanya.

Berdasarkan pengalaman hakim mengendalikan kes, keganasan rumah tangga dan kehadiran orang ketiga turut menjadi antara faktor keretakan perkahwinan.

Bagaimanapun, Nenney Shuhaidah menjelaskan faktor tersebut merupakan pemerhatian daripada kes yang dikendalikan dan bukan pecahan statistik rasmi perceraian di Selangor.

Grafik Farah Azila Mustapha

Hak terpelihara

Walaupun ikatan perkahwinan boleh dibubar dalam tempoh singkat, perceraian melalui Fast Track tidak bermakna hak dan tanggungjawab selepas berpisah turut diketepi.

Sebaliknya, Nenney Shuhaidah menjelaskan pasangan masih boleh membuat tuntutan berkaitan nafkah anak, nafkah iddah, hak penjagaan anak dan harta sepencarian mengikut proses mahkamah.

Jika kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai kadar nafkah atau tanggungan lain, perkara itu boleh dibawa untuk direkod sebagai perintah.

“Kalau mereka sudah berbincang, contohnya nafkah anak berapa, sewa rumah bagaimana dan perkara lain, mereka boleh bawa persetujuan itu.

“Failnya mungkin berasingan tetapi hakim boleh mendengar dan merekodkan persetujuan itu sebagai perintah,” katanya yang juga ketua hakim syarie wanita pertama di Selangor.

Tuntutan tertentu termasuk harta sepencarian dan hak penjagaan anak mungkin memerlukan prosiding berasingan, namun persetujuan bersama dapat membantu mempercepat penyelesaian.

Bagi Nenney Shuhaidah, urusan selepas perceraian perlu diberi perhatian supaya hak pasangan dan kebajikan anak terus terpelihara meskipun hubungan suami isteri sudah berakhir.

Pengalaman mengendalikan kes perceraian turut mendorong beliau mengingatkan pasangan, khususnya golongan muda, supaya tidak memandang ringan persediaan mendirikan rumah tangga.

Perkahwinan bukan sekadar majlis indah, sebaliknya menuntut kefahaman kewangan, pembahagian tugas, komunikasi dan tanggungjawab terhadap keluarga. Ilmu juga tidak harus bergantung kepada kursus praperkahwinan selama dua hari.

“Ambillah ilmu dan cari ilmu untuk menjadi suami yang baik, isteri yang baik, ibu yang baik dan bapa yang baik. Ilmu sekarang ada di hujung jari.

“Jangan harapkan kursus perkahwinan dua hari sahaja. Kena faham tanggungjawab, kewangan, pembahagian tugas dan komunikasi,” katanya.

Grafik Farah Azila Mustapha

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.