30 peratus pasangan berhasrat cerai berjaya diselamatkan melalui kaunseling

22 Okt 2026, 2:24 AM
30 peratus pasangan berhasrat cerai berjaya diselamatkan melalui kaunseling
30 peratus pasangan berhasrat cerai berjaya diselamatkan melalui kaunseling

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Kira-kira 30 peratus pasangan yang berhasrat untuk bercerai berjaya disatukan semula selepas menjalani sesi kaunseling keluarga kendalian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Dr Maziah Che Yusoff berkata pencapaian itu menunjukkan kaunseling berupaya membantu pasangan memahami konflik rumah tangga dengan lebih menyeluruh serta menilai semula keputusan untuk berpisah.

“Walaupun kadar itu mungkin kelihatan kecil, bagi kami ia merupakan satu kejayaan yang amat bermakna memandangkan inisiatif ini baru sahaja dimulakan pada tahun lepas,” katanya ketika menjadi tetamu podcast Kasih Lensa Keluarga terbitan Bernama TV di Wisma Bernama malam tadi.

Beliau berkata kelemahan komunikasi antara suami isteri merupakan antara punca utama konflik rumah tangga, manakala sesi kaunseling memberi ruang kepada pasangan untuk mengurus emosi, berbincang secara terbuka dan menilai semula kesan konflik terhadap perkahwinan serta masa depan anak-anak.

“Kadangkala perkara yang menjadi punca perbalahan itu tidak begitu signifikan, namun ia mengganggu emosi masing-masing. Apabila pasangan duduk berbincang secara tenang, mereka dapat melihat konteks yang lebih besar mengenai masa depan keluarga dan perkahwinan mereka,” katanya.

Dr Maziah berkata KPWKM akan terus menambah baik perkhidmatan intervensi kekeluargaan berdasarkan dapatan dan pengalaman daripada program sedia ada.

Beliau berkata usaha memperkukuh institusi keluarga menjadi matlamat Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) 2026–2030 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Februari lepas, sebagai terjemahan Dasar Sosial Negara dalam menangani cabaran kekeluargaan dan isu sosial yang semakin kompleks.

“DKKN berteraskan lima nilai utama KASIH, iaitu Kasih Sayang, Amanah, Sihat, Ilmu dan Harmoni, di samping merangkumi lima teras strategik melibatkan institusi perkahwinan, perancangan keluarga, kualiti keibubapaan, sokongan keluarga inklusif dan pengurusan konflik,” katanya.

Mengulas cabaran keibubapaan masa kini, Dr Maziah berkata pengaruh terhadap anak-anak bukan sahaja datang daripada persekitaran rumah, malah turut melibatkan teknologi digital, media sosial, sekolah dan rakan sebaya.

“Jika dahulu anak yang baik hanya duduk di rumah, kini anak yang berada di dalam bilik seorang diri pun belum tentu terselamat daripada pengaruh luar kerana adanya telefon pintar,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh institusi keluarga memerlukan kerjasama kerajaan, komuniti dan sekolah, dan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu ibu bapa.

Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai menghadiri sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada 6 dan 7 November ini di Shah Alam, Selangor yang akan menampilkan pelbagai program dan pameran berkaitan kekeluargaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.