SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri mengarahkan kerja pembersihan sistem perparitan di Kampung Bukit Kuching dan Kampung Bukit Hijau di Jeram, Kuala Selangor disegerakan bagi melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir berulang.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerja penyelenggaraan itu perlu dilaksanakan semula meskipun pembersihan sudah dilakukan pada September lalu.
"Saya telah mengarahkan supaya pembersihan perparitan dilaksanakan segera sekali lagi walaupun kerja sama sudah dijalankan pada September.
"Penyelenggaraan ini bagi mengurangkan risiko saliran tersumbat serta banjir berulang," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, beliau mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau keadaan di Kampung Bukit Kuching dan Kampung Bukit Hijau serta bertemu penduduk yang terjejas akibat banjir.
Lawatan kemudian diteruskan ke Rumah Skru Pam Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Parit Gajah bagi memantau operasi pengepaman air di kawasan berkenaan.
Menurut Amirudin, hasil pemantauan mendapati benteng banjir masih berada dalam keadaan baik, manakala pam berkapasiti 280 liter sesaat digunakan bagi mempercepatkan proses penyaliran air.
"Alhamdulillah, hasil pemantauan mendapati ban masih utuh. Pam berkapasiti 280 liter sesaat digunakan bagi mengepam keluar air saliran dalaman serta limpahan sungai dengan lebih pantas," katanya.
Beliau turut menegaskan pemantauan dan tindakan di lapangan akan diteruskan bagi mempercepatkan air surut, khususnya ketika Monsun Timur Laut dan fenomena air pasang besar.
"Kebajikan serta keselamatan penduduk mesti sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh berkenaan," katanya.









