SHAH ALAM, 20 OGOS: Pembinaan 200,000 unit Rumah Selangorku perlu mengutamakan kemampuan sebenar rakyat dengan memastikan harga dan kos pemilikan selari dengan pendapatan golongan sasaran.
Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Datuk Chang Kim Loong berkata pencapaian 133,202 unit Rumah Selangorku setakat ini merupakan perkembangan baik ke arah mencapai sasaran berkenaan.
Namun, katanya, aspek kemampuan pembeli perlu terus diberi perhatian supaya rumah yang ditawarkan benar-benar mampu dimiliki golongan sasaran.

“Profil pendapatan isi rumah perlu dikaji secara berkala dan dibandingkan dengan harga rumah serta kemampuan pembeli membayar pinjaman bagi memastikan rumah yang ditawarkan benar-benar selari dengan kemampuan kewangan golongan sasaran.
“Kerajaan Negeri juga perlu memantau bayaran bulanan, caj penyelenggaraan, cukai taksiran, insurans dan kos lain supaya keseluruhan kos pemilikan masih mampu ditanggung pembeli,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Kim Loong, pembeli khususnya golongan yang ingin memiliki rumah pertama juga perlu diberikan akses mudah kepada maklumat Rumah Selangorku termasuk status kekosongan bagi membantu mereka membuat keputusan berdasarkan maklumat lengkap.
Katanya, langkah itu dapat mengelakkan kekeliruan selain meningkatkan ketelusan dalam proses mendapatkan rumah mampu milik.
Dalam pada itu, Kim Loong menegaskan aspek kualiti tidak boleh dikompromi kerana pembeli berhak memiliki rumah yang berkualiti, selamat dan memenuhi standard ditetapkan selain mendapat perlindungan sewajarnya.
Kerajaan Negeri sebelum ini menetapkan sasaran menyediakan 200,000 unit rumah mampu milik menerusi Rumah Selangorku Harapan dan Idaman di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) menjelang 2030.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 64,188 unit siap dibina setakat ini, manakala 69,014 unit lagi sedang dalam pembinaan, menjadikan keseluruhan 133,202 unit.







