SHAH ALAM, 16 OKT: Orang ramai yang mengalami gejala pernafasan serius seperti sesak nafas dinasihatkan segera mendapatkan rawatan berikutan kualiti udara di enam kawasan di Selangor berada pada tahap tidak sihat.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata orang ramai khususnya golongan berisiko tinggi perlu mengurangkan aktiviti di luar rumah.
Menurutnya, ibu bapa juga perlu peka terhadap keadaan kesihatan anak-anak sepanjang tempoh jerebu dan mendapatkan rawatan segera sekiranya berlaku gejala serius.
“Kesihatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, terutama kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit jantung dan masalah sistem pernafasan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar semasa kualiti udara berada pada tahap tidak sihat dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala serius seperti sesak nafas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan bacaan IPU setakat jam 1 tengah hari ini, Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi di Selangor iaitu 187, diikuti Klang (181), Petaling Jaya (174), Shah Alam (172), Banting (168) dan Kuala Selangor (155).
Dalam pada itu, Jamaliah berkata Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh penyelarasan tindakan antara agensi negeri dan daerah bagi menangani situasi jerebu semasa.
Menurutnya, langkah itu selaras dengan gesaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya pemantauan kualiti udara, pencegahan dan kesiapsiagaan agensi dilaksanakan secara berterusan.
Antara agensi terlibat ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri serta Jabatan Pendidikan Negeri.

Jamaliah turut menegaskan pemantauan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan khususnya di kawasan tanah gambut, tapak pelupusan sampah serta lokasi yang dikenal pasti sebagai titik panas.
"Sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang menyalahi undang-undang akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan berkuat kuasa," katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara dan cuaca melalui saluran rasmi JAS.
Sebarang aktiviti pembakaran terbuka pula boleh dilaporkan kepada JAS menerusi talian 1-800-88-2727.








