Sambutan Deepavali eratkan silaturahim, jadi contoh perpaduan masyarakat - EXCO

8 Nov 2026, 5:30 AM
Sambutan Deepavali eratkan silaturahim, jadi contoh perpaduan masyarakat - EXCO
Sambutan Deepavali eratkan silaturahim, jadi contoh perpaduan masyarakat - EXCO
Sambutan Deepavali eratkan silaturahim, jadi contoh perpaduan masyarakat - EXCO

SHAH ALAM, 8 NOV: Sambutan Hari Deepavali peringkat EXCO Kerajaan Negeri bukan sekadar meraikan perayaan masyarakat Hindu, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim antara pemimpin serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu yang juga penganjur berkata, sambutan secara sederhana di Kompleks Kediaman EXCO, di sini, mencerminkan kesepakatan pemimpin negeri meskipun berbeza agama, bangsa dan kepercayaan.

Katanya, amalan tradisi tahunan itu wajar dijadikan contoh kepada masyarakat untuk terus memelihara keharmonian serta saling menghormati kepelbagaian yang menjadi identiti Selangor.

EXCO Sumber Manusia & Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu bercakap kepada media pada Rumah Terbuka Deepavali di Seksyen 7, Shah Alam pada 8 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Ini merupakan amalan tradisi setiap tahun bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin utama negeri. Ia menunjukkan kita sepakat walaupun berbeza agama, bangsa dan kepercayaan.

“Kita mahu masyarakat turut menjadikan perkara ini sebagai contoh dengan terus bersatu padu dan saling menghormati meskipun terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya kepada Media Selangor.

Sambutan itu turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, barisan pimpinan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri serta wakil jabatan pentadbiran.

EXCO Sumber Manusia & Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Rumah Terbuka Deepavali di Seksyen 7, Shah Alam pada 8 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Mengulas sambutan Deepavali peringkat negeri yang dijadual berlangsung pada 14 November ini, Papparaidu berkata, program di Dataran Klang @ Padang Chetty, Klang itu turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada beberapa kuil dan sekolah Tamil.

Beliau turut memaklumkan beberapa perkara penting berkaitan pembinaan rumah ibadat akan diumumkan pada majlis berkenaan bagi mengelakkan timbulnya sebarang isu berhubung perkara itu pada masa hadapan.

“Sambutan ini dijangka meriah dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung. Selain makanan tradisional seperti maruku, kita juga menyediakan pelbagai acara menarik termasuk persembahan tarian dan nyanyian,” katanya.

Bertemakan Cahaya Perpaduan, Selangor Sejahtera, sambutan itu akan berlangsung dari jam 7.30 malam hingga 11.30 malam dengan pelbagai pengisian untuk masyarakat berbilang kaum, termasuk pemberian duit raya kepada kanak-kanak.

Papparaidu berkata, sambutan tahunan itu bukan sahaja meraikan perayaan masyarakat Hindu, malah menjadi ruang untuk masyarakat pelbagai kaum mengenali budaya masing-masing, sekali gus memperkukuh perpaduan di Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.