SHAH ALAM, 8 NOV: Masalah banjir di Kampung Padang Jawa semakin terkawal susulan pelaksanaan projek penambahbaikan sistem saliran sejak 2024, namun penduduk berharap kerja menaik taraf infrastruktur diteruskan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Ketua Kampung Padang Jawa Samsudin Nali berkata hujan lebat sebelum ini sering menyebabkan air melimpahi jalan dan menjejaskan penduduk, tetapi keadaan semakin baik selepas kolam tadahan serta kunci air beroperasi.
Menurutnya, setakat ini tiada aduan serius diterima berhubung kejadian banjir meskipun beberapa kediaman di kawasan rendah masih mengalami kenaikan air pada paras singkat.
"Sebelum ini banyak rumah penduduk terjejas kerana dimasuki air terutama di tengah Jalan Mat Raji tetapi sekarang sudah tiada, kerana adanya kolam tadahan air dan kunci air sudah beroperasi.

"Cuma kawasan rendah sahaja mengalami kenaikan air, tetapi tidak teruk cuma di bahagian dapur dan bergantung kawasan tertentu," katanya kepada Media Selangor.
Bagaimanapun, Samsudin berkata kebanyakan longkang di lorong perumahan masih menggunakan longkang tanah yang berisiko mengalami mendapan dan menyebabkan air meresap melalui lubang saliran.
Sementara itu, penduduk yang menetap di Padang Jawa sejak 30 tahun lalu, Zulkifli Cik Musa berkata kejadian banjir yang dahulunya kerap berlaku setiap kali hujan kini semakin berkurangan selepas kerja mengorek sungai dan pembinaan kunci air dilaksanakan.
“Bila hujan lebat kami risau kerana mudah dilanda banjir tetapi sejak penambahbaikan dilakukan, sudah tiada (air naik).

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang membaik pulih sistem saliran di Padang Jawa,” katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa, Mohd Tahar Aliyas berkata kawasan sekolah yang sebelum ini mudah dinaiki air dalam tempoh lima hingga 10 minit ketika hujan, dengan paras mencecah satu hingga dua kaki, tidak lagi mengalami banjir selepas penambahbaikan pada 2024.
Menurutnya, masalah sebelum ini berpunca daripada pembentung saliran monsun tersumbat di belakang sekolah, namun sistem perparitan lama di Jalan Mat Raji masih perlu diberi perhatian.
“Selepas kerja penambahbaikan dilaksanakan pada 2024, kawasan sekolah tidak lagi mengalami banjir seperti sebelum ini.

“Kita berharap sistem saliran di Jalan Mat Raji turut diberi perhatian dan ditambah baik kerana kebanyakan sistem perparitan sedia ada merupakan perparitan lama, manakala pembinaan saliran baharu masih terhad tetapi apa yang dibuat wakil rakyat memberi kesan positif,” katanya.
Sementara itu peniaga berhampiran saliran dan kunci air, Zakaria Talib pula berharap kerja mengorek sungai dipercepatkan kerana kawasan perniagaannya antara lokasi pertama dinaiki air ketika banjir.
“Saya harap dapat mempercepatkan kerja berkenaan kerana jika berlaku lagi banjir, tempat kami pertama yang dinaiki air,” katanya.












