Agong titah perintah tahanan rumah Najib dihormati, elak pertikaian berpanjangan

7 Nov 2026, 4:57 AM
Agong titah perintah tahanan rumah Najib dihormati, elak pertikaian berpanjangan
Agong titah perintah tahanan rumah Najib dihormati, elak pertikaian berpanjangan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.

Titah Seri Paduka Baginda menerusi Istana Negara itu terkandung dalam kenyataan yang dikongsikan menerusi laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Seri Paduka Baginda bertitah bahawa baginda telah memerintahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraannya secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.

Perintah itu diperkenankan selepas Seri Paduka Baginda menerima nasihat sewajarnya daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 18 September lepas.

"Kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Pelaksanaan kuasa tersebut hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

"Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong," titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim turut bertitah perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap Najib.

"Tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran dan tidak sepatutnya menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan," titah Seri Paduka Baginda.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara sehingga selesai penelitian dan penjelasan lanjut mengenai interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat, serta kesan Perintah Pelepasan (Order of Discharge) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi di sini semalam, selepas bayaran denda RM50 juta dilunaskan.

AGC memaklumkan penangguhan sementara itu bukan bertujuan mempertikaikan atau mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya merupakan langkah bagi memastikan titah tersebut dan perintah mahkamah berkaitan dilaksanakan dengan tepat, teratur dan selaras dengan kedudukan undang-undang sebenar.

Sepanjang tempoh penangguhan, Najib dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa serta arahan pihak berkuasa yang berkenaan selain memaklumkan tindakan selanjutnya akan diambil selepas proses penelitian dan penjelasan berhubung penangguhan sementara itu selesai.

Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, di sini semalam.

Pegawai khas kepada Najib, Ahmad Lutfi Azhar hadir di mahkamah pada 11.30 pagi bagi menyelesaikan urusan pembayaran, dan melengkapkan prosedur pentadbiran yang diperlukan sebelum pembayaran dimuktamadkan.

Pembayaran itu adalah antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lepas, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.