SHAH ALAM, 18 OKT: Jabatan Penjara Malaysia kini di fasa akhir penggubalan peraturan dan syarat pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggubalan itu diperlukan memandangkan mekanisme tahanan rumah belum pernah dilaksanakan di negara ini.
Menurutnya, jabatan itu sudah menerima surat daripada Urus Setia Lembaga Pengampunan yang memperincikan keputusan serta syarat berkaitan pelaksanaan hukuman berkenaan.
“Dalam surat itu sebutlah apakah keputusan Lembaga Pengampunan dan apakah pula syarat-syarat.
“KDN, khususnya Jabatan Penjara, adalah pelaksana kepada keputusan itu. Sekarang Jabatan Penjara sedang di fasa akhir menggubal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di FELDA Tenang, Besut, Terengganu hari ini.
Mengulas lanjur, Saifuddin menjelaskan surat berkenaan turut memberikan ruang kepada Jabatan Penjara menetapkan syarat bersesuaian sebagai panduan pelaksanaan tahanan rumah.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan Najib masih menjalani hukuman di penjara kerana belum menjelaskan denda RM50 juta yang ditetapkan.
“Dan bila itu akan terlaksana? Apabila bayaran RM50 juta dibuat. Sekarang sudahkah dibayar? Belum. Belum lagi dibayar,” katanya.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64.







