KUALA LUMPUR, 6 NOV: Pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan sementara sehingga selesai penelitian dan penjelasan lanjut mengenai interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan (Order of Discharge) berkenaan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan sepanjang tempoh penangguhan, Najib dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.
"Penangguhan sementara ini bukan bertujuan mempertikaikan atau mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya merupakan langkah bagi memastikan titah tersebut dan perintah mahkamah yang berkaitan dilaksanakan dengan tepat, teratur dan selaras dengan kedudukan undang-undang sebenar," menurut AGC dalam kenyataan hari ini.
AGC memaklumkan tindakan selanjutnya akan diambil selepas proses penelitian dan penjelasan berhubung perkara berkenaan selesai.
Menurut AGC, pihaknya mengambil maklum Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September 2026 yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim terhadap Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau menyelesaikan pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat ditetapkan.
AGC memaklumkan timbul persoalan perundangan berhubung interpretasi frasa "menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta" serta kesannya terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International.
Menurut AGC, penelitian lanjut diperlukan bagi menentukan sama ada pembayaran denda RM50 juta itu hanya memenuhi komponen denda manakala baki hukuman penjara bagi kes berkenaan masih perlu dijalani hingga 23 Ogos 2028.
"Berdasarkan interpretasi ini, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara tersebut dan bukannya penamatan hukuman penjara," menurut kenyataan itu.
Satu lagi interpretasi ialah pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, sekali gus membawa kesan bahawa keseluruhan hukuman bagi kes SRC Intenational termasuk hukuman penjara, dianggap telah selesai.
Menurut AGC, kekeliruan itu turut melibatkan implikasi undang-undang Perintah Pelepasan Pembayaran Denda bertarikh 6 November 2026 yang mengarahkan pembebasan serta-merta, namun pada masa sama menetapkan baki hukuman dijalani menerusi tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Selain itu, AGC memaklumkan status baki hukuman penjara kes SRC berkenaan turut mempunyai implikasi terus terhadap pelaksanaan hukuman penjara Najib bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ia berikutan perintah mahkamah menetapkan hukuman kes 1MDB hendaklah bermula selepas selesainya hukuman kes SRC International, mengambil kira permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB yang telah ditolak Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober 2026.
"Memandangkan isu dibangkitkan melibatkan persoalan perundangan yang kompleks, mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan titah pengampunan dan perintah mahkamah, serta merupakan suatu keadaan belum pernah dihadapi sebelum ini, AGC berpandangan bahawa penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan selanjutnya diambil," menurut kenyataan itu.
Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pegawai khas kepada Najib, Ahmad Lutfi Azhar hadir di mahkamah pada 11.30 pagi bagi menyelesaikan urusan pembayaran tersebut dan melengkapkan prosedur pentadbiran yang diperlukan sebelum pembayaran dimuktamadkan.
Pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.








