Najib kekal di Penjara Kajang sehingga denda RM50 juta dibayar

20 Sep 2026, 6:35 AM
Najib kekal di Penjara Kajang sehingga denda RM50 juta dibayar

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan kekal berada di Penjara Kajang sehingga denda RM50 juta yang menjadi syarat pelaksanaan tahanan rumah dibayar kepada mahkamah.

Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib memaklumkan pengampunan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim adalah pengampunan bersyarat dan pelaksanaan tahanan rumah bergantung kepada pematuhan syarat ditetapkan.

“Sementara itu dan sehingga denda itu dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal berada dalam Penjara Kajang.

“Anak guam kami dan pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat itu serta implikasi praktikalnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tetuan Shafee & Co, Najib sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat pembayaran denda RM50 juta itu.

Firma berkenaan memaklumkan keupayaan Najib memenuhi syarat tersebut bergantung, sebahagiannya, pada perkara yang berada di luar kawalannya.

“Buat masa ini, sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah anak guam kami masih tertakluk pada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak kerajaan, dan pelupusannya tidak berada sepenuhnya dalam kawalan beliau pada masa ini,” katanya.

Jumaat lalu, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara pada hari sama.

BHEUU turut memaklumkan Najib perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan pengampunan bersyarat itu akan terbatal sekiranya mana-mana syarat tidak dipenuhi, sekali gus menyebabkan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.

Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.