KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Sebuah balai polis bergerak akan ditempatkan berhampiran satu daripada kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mulai esok.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata penempatan balai bergerak di bawah tanggungjawab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul itu, dijadualkan bermula 7 pagi di kediaman Najib di Langgak Duta, di sini.
Beliau berkata penempatan balai bergerak itu bukan bertujuan mengawal Najib secara 24 jam, sebaliknya bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan beliau sekiranya proses pemindahan dari penjara ke kediaman berkenaan dilaksanakan.
“Ia untuk kawalan semasa proses kembalinya beliau sahaja (jika kediaman ini dipilih) bagi menjaga keselamatan pemberita luar dan dalam negara, jiran-jiran serta mengelakkan kesesakan jalan raya dan kehadiran penyokong.
“Ia bukan tugas yang diarahkan untuk kawalan Datuk Seri Najib, tetapi untuk kawalan keselamatan semasa proses pemindahan beliau selepas membayar denda, dari penjara ke rumah,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Mengenai status kediaman berkenaan sebagai lokasi tahanan rumah Najib, Anuar Bakri berkata pihaknya belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung perkara itu.
“Saya tidak boleh beri pengesahan sebab saya pun tidak dapat apa-apa maklumat, tetapi satu daripada rumah rasmi Datuk Seri Najib di bawah tanggungjawab saya.
“Terdapat kemungkinan kediaman lain milik Datuk Seri Najib turut berada dalam pertimbangan, namun perkara itu belum dapat dipastikan,” katanya.
Mengulas pihak yang bertanggungjawab mengawasi sekiranya Najib menjalani tahanan rumah, Anuar Bakri berkata berdasarkan maklumat diterimanya, tanggungjawab berkenaan adalah di bawah Jabatan Penjara Malaysia dan bukan PDRM.
Empat pegawai Jabatan Penjara telah hadir ke kediaman berkenaan semalam bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian.
“ … PDRM hanya memudah cara pergerakan Datuk Seri Najib untuk masuk dan pada masa sama menjaga keselamatan pemberita,” katanya.
Anuar Bakri berkata penempatan anggota polis ketika proses berkenaan dijangka melibatkan seorang penyelia bersama dua anggota, selain dibantu unit kereta peronda (MPV).
Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) tahanan rumah Najib akan memperincikan, antara lain aspek lawatan, kawalan dan pemantauan pergerakan bekas Perdana Menteri itu selepas surat rasmi berkaitan diterima.
Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 atas sabitan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.







