KLANG, 6 NOV: Pendekatan Selangor membangunkan Indeks Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) berasaskan data serta bukti disifatkan sebagai langkah matang bagi memastikan keberkesanan reformasi pentadbiran dapat diukur secara menyeluruh.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata usaha mendapatkan maklum balas rakyat serta mengukur tahap integriti dan ketirisan sebelum merangka Pelan Tindakan RSTU menunjukkan kesungguhan pentadbiran negeri melaksanakan pembaharuan secara sistematik.
“Langkah mendapatkan data maklum balas rakyat dan mengukur tahap integriti serta ketirisan sebelum merangka Pelan Tindakan RSTU adalah satu langkah berasaskan bukti yang amat matang.
"Usaha (Selangor) ini juga selari dengan Pengenalan Prestasi Perkhidmatan Awam (RPPA) dan agenda reformasi perkhidmatan awam yang telah digagaskan di peringkat persekutuan sejak dua tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian penutupan Seminar Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU): Pengajaran dari Kes Mahkamah – Memperkukuh Tadbir Urus dan Tata Kelola, Mencegah Kesilapan Berulang di Hotel Wyndham Acmar Klang, semalam.
Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Shamsul Azri berharap dapatan seminar berkenaan dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit dengan hasil yang boleh diukur, selain amalan terbaik yang dikenal pasti dikongsi bersama negeri-negeri lain.
Sementara itu, Ahmad Fadzli berkata, Indeks RSTU dibangunkan secara saintifik dan komprehensif dengan tujuan utama mengukur tahap kepuasan rakyat menerusi lima komponen, iaitu ketelusan perkhidmatan, integriti, kebolehpercayaan, governans dan pengesanan ketirisan.
Menurutnya, penilaian berasaskan data sebenar daripada pemegang taruh membolehkan kerajaan negeri mengenal pasti kelemahan serta kekuatan dalam sistem penyampaian perkhidmatan, sekali gus menentukan aspek yang perlu diperbaiki.
“Kita tidak lagi mahu bekerja berasaskan 'agak-agak'. Kita kumpul maklum balas sebenar dari pemegang taruh.
"Data dari Indeks inilah yang akan menunjukkan kelemahan kita secara telus, di mana kekuatan kita, dan di mana 'lopak-lopak' yang wajib kita tampal segera.
“Indeks ini akan menjadi kompas dan perkara dasar untuk kita nilai sejauh mana keberkesanan tindakan pembetulan yang kita laksanakan hari ini,” katanya.







