SHAH ALAM, 5 NOV: Hujan lebat petang ini menyebabkan kejadian banjir kilat yang menenggelamkan beberapa kawasan di Puncak Alam, Kuala Selangor.
Antara lokasi terjejas adalah Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Cawangan Puncak Alam, Saujana Utama, Taman Hillpark, Taman Seri Alam dan beberapa perumahan berfasa di Puncak Alam.
Tinjauan menerusi perkongsian gambar dan video pengguna media sosial Threads menunjukkan kenderaan berbaris panjang di beberapa laluan, manakala sebahagian jalan dinaiki air.
Seorang pengguna Threads, @thisiswuan berkongsi rakaman video rakaman limpahan kolam tadahan air di Taman Hillpark menerusi hantaran yang dikemas kini pada jam 5.58 petang.
Di UiTM Cawangan Puncak Alam pula, pengguna Threads @fizaabdullah memaklumkan Pintu 1 (pintu utama di Saujana Utama dan Hospital UiTM) dan Pintu 3 (ke Hillpark) ditutup akibat banjir.
Menurutnya, hanya Pintu 2 iaitu pintu di Jalan Meru sahaja yang boleh digunakan untuk pergerakan masuk dan keluar.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar memaklumkan, pihaknya sedang menjalankan kerja-kerja menyelamat di Taman Seri Alam.
Ashrul Riezal berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya kini berada di lokasi kejadian dan sebarang perkembangan akan dikemaskini dari masa ke semasa.








