PUTRAJAYA, 21 OKT: Kesemua 462 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Perancis dilaporkan selamat, dan tiada seorang pun terlibat atau terjejas secara langsung akibat demonstrasi serta rusuhan di beberapa bandar utama negara itu termasuk Paris.
Kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan aktiviti pengajian pelajar Malaysia di negara berkenaan diteruskan seperti biasa manakala institusi pendidikan di kawasan terjejas melaksanakan pembelajaran secara dalam talian.
Menurut KPT, pihaknya melalui Pejabat Atase Pendidikan Paris dengan kerjasama Kementerian Luar, Kedutaan Besar Malaysia di Paris dan agensi penaja, sentiasa memantau perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar negara ini terpelihara.
"Sehingga kini, seramai 462 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di Perancis dan tiada laporan diterima mengenai pelajar yang terlibat atau terjejas secara langsung akibat demonstrasi dan rusuhan yang berlaku di beberapa bandar utama termasuk Paris," menurut kenyataan itu.
Susulan perkembangan itu, KPT menasihati pelajar Malaysia di Perancis supaya mengelakkan kawasan terjejas, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa mengikuti makluman rasmi.
Pada masa sama, KPT memaklumkan bahawa pelajar Malaysia yang berada di negara Eropah lain turut dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Perancis sehingga keadaan kembali terkawal.
Kementerian itu memaklumkan bahawa pemantauan berterusan akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua pelajar Malaysia di Perancis sentiasa terpelihara.
KPT turut meminta ibu bapa dan keluarga pelajar supaya bertenang serta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi, selain memastikan anak masing-masing mematuhi garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh Pejabat Atase Pendidikan Paris dan Kedutaan Besar Malaysia di Paris.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh disalurkan melalui e-mel maisarah.isa@jpa.gov.my atau eml@mohe.gov.my.
-- BERNAMA







