Mohd Shuhaily masih ketuai AKPS, belum terima arahan kembali ke PDRM

5 Nov 2026, 7:42 AM
Mohd Shuhaily masih ketuai AKPS, belum terima arahan kembali ke PDRM

SHAH ALAM, 5 NOV: Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain masih menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kerana belum menerima sebarang arahan rasmi berhubung keputusan mengembalikannya ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peguamnya Muhammad Rafique Rashid Ali berkata anak guamnya masih mempunyai kuasa sebagai ketua pengarah selagi proses pertukaran penempatan belum dimuktamadkan, lapor Sinar Harian.

“Beliau masih belum menerima sebarang arahan atau surat rasmi. Jadi, beliau menjalankan tugas kerana masih mempunyai kuasa sebagai ketua pengarah.

“Setakat ini, anak guam masih belum didapati bersalah dan boleh menjalankan tugas dan tanggungjawabnya seperti biasa,” katanya kepada media di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Menurut Rafique, Mohd Shuhaily turut menjalankan tugas seperti biasa termasuk mempengerusikan mesyuarat agensi berkenaan.

Susulan itu, beliau meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan status Mohd Shuhaily bagi mengelakkan kekeliruan dan spekulasi.

“Rakyat kini tertanya-tanya apabila menteri menyatakan satu perkara, tetapi apa yang berlaku menunjukkan keadaan sebaliknya.

“Jadi, menteri itu perlu menjelaskan perkara ini kerana ia menimbulkan pelbagai spekulasi,” katanya.

Pada 29 Oktober lalu, Saifuddin memaklumkan Mohd Shuhaily telah dikembalikan ke PDRM.

Mohd Shuhaily yang dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027 dilaporkan kembali bertugas pada 2 November selepas bercuti selama seminggu.

Terdahulu, pada 21 Oktober, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.