BANGI, 5 NOV: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) merancang memperkenalkan peperiksaan pensijilan Bahasa Melayu bertaraf antarabangsa, bagi mewujudkan standard penilaian kompetensi bahasa itu pada peringkat kebangsaan dan global.
Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata inisiatif itu, bertujuan menyediakan satu sistem penilaian standard bagi mengukur tahap penguasaan Bahasa Melayu, sama seperti peperiksaan International English Language Testing System (IELTS) dan Test of English as a Foreign Language (TOEFL) bagi bahasa Inggeris.
“Dalam Bahasa Melayu, tiada satu peperiksaan khusus (yang wajib) untuk memberikan standard kompetensi dalam bahasa itu. Jadi kita nak jadikan UKM sebagai pusat peperiksaan Bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa dan juga pada peringkat kebangsaan...contohnya kalau mereka ada yang nak memohon menjadi warganegara, jadi mereka wajib mengambil kursus Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh ATMA UKM,” katanya.
“Kita mahu menjadikan UKM sebagai pusat peperiksaan Bahasa Melayu yang bukan sahaja terbuka kepada warga universiti, malah masyarakat antarabangsa yang ingin mendapatkan pengiktirafan terhadap penguasaan bahasa itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian surat hasrat (LOI) UKM-ATMA dan Yayasan Aman di sini hari ini.
Sufian berkata peperiksaan itu turut dicadangkan sebagai keperluan kepada pelajar yang ingin memasuki UKM dan mengikuti pengajian menggunakan Bahasa Melayu, termasuk menulis tesis dalam bahasa berkenaan.
Beliau berlata pelajar dari negara Asia Tenggara yang menggunakan Bahasa Melayu juga boleh menduduki peperiksaan itu, sebagai alternatif kepada peperiksaan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pengajian tertentu di UKM.
“Kalau pada peringkat antarabangsa, pengguna Bahasa Melayu boleh dengan sukarela mengambil peperiksaan yang kita kenalkan nanti, supaya mereka boleh menggunakan bahasa itu sebagai lingua franca di beberapa peringkat,” katanya yang juga menzahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan cadangan berkenaan.







