SHAH ALAM, 31 OKT: Seramai 413,372 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 akan menduduki peperiksaan bermula 3 November hingga 23 Disember di 3,350 pusat peperiksaan seluruh negara.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan, SPM dimulakan dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 3 hingga 6 November, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 10 hingga 13 November.
Bagi calon aliran Sains, Ujian Amali Sains membabitkan mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi akan dijalankan pada 17, 18 dan 19 November, manakala Ujian Amali Sains Tambahan dijadualkan pada 19 November.
Seterusnya, calon akan menduduki Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 20 November, sebelum memasuki fasa utama peperiksaan bertulis bermula 25 November hingga 23 Disember 2025
KPM memaklumkan serami 127,526 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
Menurut kenyataan itu, semua calon diingatkan merujuk jadual waktu peperiksaan SPM 2025 bagi mengetahui maklumat lengkap tarikh, waktu, kod dan nama kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
Jadual waktu peperiksaan juga boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my.
KPM juga mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Penyata Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi semua prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan.
“KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan Penyakit Seperti Influenza (ILI) sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2025 berlangsung," menurutnya.
Sehubungan itu, KPM berkata pihaknya bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan.
“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera jika terlibat atau terkesan dengan bencana. Mereka juga boleh menghubungi bilik gerakan LP dan JPN di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
KPM menegaskan akan melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM 2025 dilaksanakan dengan lancar dan teratur.




