ad

Bekas menteri dan tokoh pendidikan saran UPSR dikembalikan

8 Nov 2025, 1:28 AM
Bekas menteri dan tokoh pendidikan saran UPSR dikembalikan

SHAH ALAM, 8 NOV: Walaupun sudah lima tahun dimansuhkan, beberapa tokoh termasuk dua bekas Menteri Pendidikan berpandangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) wajar dikembalikan semula bagi menilai tahap penguasaan dan pencapaian akademik murid.

Bagi mereka, pentaksiran nasional itu mampu menentukan kecenderungan dan potensi murid, sebelum mereka beralih ke tahap pendidikan menengah dan pengajian tinggi.

Selaras pandangan itu, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik percaya pelaksanaan UPSR wajar dipadankan dengan data raya, jentera pembelajaran dan bantuan kecerdasan buatan (AI) untuk menilai potensi murid melangkaui pencapaian akademik, lapor Berita Harian.

"Paling penting ialah potensi murid... dengan ada data lengkap, jentera pembelajaran dan bantuan AI kita boleh tahu data murid dari prasekolah hingga Tahun Enam. Selepas dia ambil peperiksaan nasional yang pada saya wajib dikembalikan semula UPSR.

"Gunalah apa nama sekalipun (asal ia dikembalikan) kerana ia penting... UPSR bukanlah satu-satunya penilaian, tetapi dibantu data untuk menilai potensi murid, sama ada di bidang perakauanan, sukan dan sebagainya," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 1.0: Reformasi Sistem Pendidikan pada Zaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pemerkasaan Institusi Guru anjuran Pemuda UMNO.

Kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021, manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan pada tahun sama.

Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin, dilaporkan berkata pemansuhan UPSR dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan pada 2020, akibat COVID-19.

Susulan pemansuhan UPSR, katanya pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) akan diperkasa bagi murid berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya.

Menyokong pandangan sama, seorang lagi bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan pentaksiran nasional wajar dikembalikan bagi membentuk sahsiah murid secara menyeluruh.

"Pentaksiran berasaskan sekolah, sahsiah, kokurikulum dan pelbagai lagi berkaitan murid semuanya dinilai guru. Namun, secara peribadi dalam tempoh 10 tahun antara Tahun Satu hingga Tingkatan Empat sepatutnya perlu ada satu peperiksaan nasional," katanya.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, pula mengakui peperiksaan perlu untuk menentukan intervensi bagi memperbaiki kelemahan yang mungkin ada pada murid tertentu.

"Saya tak tahu kenapa kita takut dengan peperiksaan sedangkan ia diadakan untuk menilai. Menerusi peperiksaan, kita tahu tahap murid dan secara tidak langsung boleh membina lagi pelajar yang lemah dalam subjek tertentu.

"Bagi saya peperiksaan perlu untuk pelajar," katanya yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran.

Menyokong pandangan itu, pempengaruh bidang akademik yang juga bekas guru, Datuk Mohd Sharizal Samsudin, mahu UPSR dikembalikan untuk memperkasa pencapaian akademik murid.

"Kembalikan sistem UPSR. Kalau tak mahu nama UPSR pun tak apa, letaklah jenama lain sekali pun, tak mengapa kerana ibu bapa dan guru sudah tidak tahan.

"Pelajar masuk ke sekolah berasrama penuh dan akhirnya kembali ke sekolah harian kerana tahap pembelajaran sebelum ada peperiksaan ini sangat berbeza dengan sistem pentaksiran dalam kelas," katanya.