ad

Autonomi laksana UASA: Guru masih terikat panduan, bukan bebas buat soalan

6 Nov 2025, 4:30 AM
Autonomi laksana UASA: Guru masih terikat panduan, bukan bebas buat soalan

SHAH ALAM, 6 NOV: Pemberian autonomi penuh kepada sekolah dan guru dalam pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sejak tahun lalu, bukan laluan bagi tenaga pengajar membina soalan secara sesuka hati.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh sebaliknya berkata guru tertakluk kepada Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) yang perlu diguna pakai dan panduan juga diberikan kepada guru untuk membangunkan soalan UASA.

Beliau berkata, dalam masa dua tahun ini, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah melatih 259,656 guru dalam aspek penyediaan soalan dan juga pelaksanaan UASA, lapor Berita Harian.

"Guru tidak boleh sesuka hati membina soalan tetapi kita ada satu JSU yang harus diguna pakai dan sejak dua tahun pemberian autonomi, ia berjalan dengan lancar.

"Latihan kepada guru ini bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme dan kemahiran mereka dalam bidang pedagogi dan juga pentaksiran pendidikan," katanya pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman (GPS-Betong) yang mahu tahu langkah diambil KPM bagi memastikan keseragaman pentaksiran antara sekolah bandar dan luar bandar supaya tidak wujud jurang penilaian.

Pada masa sama, Kah Woh berkata, pihak Lembaga Peperiksaan (LP) ada menyediakan JSU yang disampaikan kepada semua sekolah bagi garis panduan kepada guru dalam penyediaan soalan.

Beliau berkata, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan UASA juga boleh diakses oleh ibu bapa melalui sistem semakan keputusan pentaksiran yang akan bermula akhir sesi akademik.

"KPM sekarang juga menggunakan sistem pentaksiran pengurusan bersepadu yang mana guru boleh memasukkan gred ataupun prestasi murid itu ke dalam sistem pentaksiran pengurusan bersepadu ini," katanya.