Penjenayah siber luar negara boleh didakwa mengikut undang-undang Malaysia

5 Nov 2026, 6:54 AM
Penjenayah siber luar negara boleh didakwa mengikut undang-undang Malaysia

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penjenayah siber yang beroperasi di luar negara, sekiranya jenayah dilakukan membabitkan sistem di Malaysia atau mangsanya merupakan warganegara Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peruntukan Fasal 2 Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026, membolehkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap pelaku di luar negara seolah-olah kesalahan berkenaan dilakukan di Malaysia.

“Kerajaan menggunakan mekanisme kerjasama antarabangsa yang sedia ada untuk memastikan penjenayah luar negara dapat disiasat, didakwa dan jika memenuhi syarat, diekstradisi ke Malaysia,” kata Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol), yang ingin tahu sama ada kerangka perundangan sedia ada berkaitan jenayah siber, memadai menangani penipuan dalam talian berasaskan kecerdasan buatan (AI) termasuk penyamaran identiti, deepfake dan manipulasi digital, serta apakah peruntukan khusus yang diperkukuh bagi mempercepat tindakan terhadap sindiket dan melindungi mangsa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata RUU yang diluluskan Parlimen pada Julai, digubal bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), selain menangani jurang perundangan termasuk jenayah siber rentas sempadan dan penyalahgunaan teknologi AI.

Beliau berkata Fasal 23 RUU itu, memperluas skop kesalahan penyamaran menggunakan sistem komputer bagi menangani ancaman deepfake yang semakin kompleks.

“Undang-undang sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menangani deepfake yang mampu menghasilkan video, imej dan suara palsu yang sukar dibezakan daripada yang asli, untuk digunakan bagi tujuan penipuan dan memperdaya orang awam.

“Justeru, Fasal 23 memperluas skop kesalahan berhubung dengan jenayah penyamaran yang dilakukan menggunakan sistem komputer,” katanya.

Bagi mempercepat tindakan terhadap sindiket jenayah siber, beliau berkata RUU itu turut menyediakan kuasa penyiasatan di bawah Fasal 38 hingga 41 meliputi pemeliharaan data, penzahiran data, pengumpulan data trafik dan pemintasan komunikasi, tertakluk kepada mekanisme kawalan ditetapkan.

Ahmad Zahid berkata peruntukan kuasa itu penting kerana bukti digital mudah dipadam, diubah suai atau dipindahkan dalam tempoh singkat, sekali gus memerlukan tindakan penyiasatan yang responsif.

Daripada aspek perlindungan mangsa, Fasal 54 memberi kuasa kepada mahkamah mengeluarkan perintah bagi mencegah atau menghentikan pelanggaran undang-undang atas permohonan Pendakwa Raya atau pegawai diberi kuasa, sama ada suspek telah didakwa atau belum.

“Antara perintah yang boleh dikeluarkan termasuklah perintah pemberhentian, perintah restitusi kepada mangsa, perintah pematuhan serta perintah sekatan harta bagi mengelakkan aset seperti wang hasil penipuan dilesapkan,” katanya.

Secara keseluruhan, Ahmad Zahid berkata penguatkuasaan RUU Jenayah Siber 2026, akan memperkasakan agensi penguatkuasaan melalui pemberian kuasa penyiasatan yang responsif, serta peruntukan bidang kuasa rentas sempadan bagi menyekat aktiviti jenayah siber termasuk penipuan dalam talian menggunakan AI.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.