SHAH ALAM, 4 NOV: Beberapa laluan di sekitar Puncak Alam dilaporkan dinaiki air pagi ini susulan limpahan air sungai, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Seorang pengguna Threads, aainaasaufi berkongsi keadaan banjir di persimpangan berhampiran kedai perabot Avatar yang biasa dilaluinya ketika berulang-alik ke tempat kerja di Kuala Lumpur.
Menerusi perkongsian sekitar jam 8.30 pagi, pengguna berkenaan memaklumkan air sungai sudah melimpah sehingga menjejaskan laluan tersebut.
Beliau turut berkongsi rakaman paras air sungai yang tinggi di laluan alternatif melalui Jalan Daunan, Alam Perdana.
Menurutnya, kesesakan panjang berlaku dari arah persimpangan Ijok menuju Puncak Alam, selain terdapat laluan dinaiki air yang perlu dilalui sebelum memasuki lebuh raya.
Pengguna berkenaan turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan perjalanan masuk ke Puncak Alam buat sementara waktu berikutan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads, thatswhynununana berkongsi keadaan banjir berulang yang dihadapi keluarganya di Kampung Melayu Subang.
Menerusi perkongsian empat gambar bertarikh 25 September, 17 Oktober, 2 November dan 4 November tahun ini, pengguna berkenaan menggambarkan kejadian banjir yang semakin kerap di kawasan kediaman keluarganya.
Menurut beliau, sebelum ini keluarganya hanya berdepan kejadian banjir sekitar sekali setahun, berbanding keadaan yang didakwa berlaku hampir setiap bulan kebelakangan ini.
Perkongsian tersebut turut menunjukkan kebimbangan penduduk terhadap kejadian banjir berulang dalam tempoh kurang dua bulan.







