KLANG, 1 NOV: Seramai 750 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menerima Baucar Jom Shopping Deepavali bagi meringankan beban perbelanjaan menjelang sambutan perayaan itu.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, sebanyak 1,200 permohonan diterima, namun hanya 750 penerima dipilih berdasarkan kuota diperuntukkan kepada kawasan berkenaan.
Menurutnya, bantuan menerusi inisiatif Kerajaan Negeri itu membolehkan keluarga yang layak membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Deepavali.
“Syukur, hari ini para penerima yang layak telah menerima baucar masing-masing di NSK untuk membeli barangan keperluan sempena perayaan Deepavali.
“Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor ini amat bermakna dalam membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga, khususnya menjelang musim perayaan,” katanya.
Gunaraj turut merakamkan penghargaan kepada Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedang mengusahakan bantuan tambahan sempena Deepavali bagi membantu penduduk yang tidak terpilih menerima baucar berkenaan.
Katanya, usaha itu diharap dapat memastikan lebih ramai keluarga menikmati manfaat bantuan sekali gus membuat persiapan perayaan dengan lebih baik.







