Pensyarah: Nilai prestasi PBT berkala untuk tingkat perkhidmatan

16 Sep 2026, 12:30 PM
Pensyarah: Nilai prestasi PBT berkala untuk tingkat perkhidmatan
Pensyarah: Nilai prestasi PBT berkala untuk tingkat perkhidmatan

SHAH ALAM, 16 SEPT: Tinjauan yang menilai prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dibuat berkala melalui kaedah konsisten bagi mengukur perubahan tahap kepuasan rakyat dari semasa ke semasa.

Menurut pensyarah perancang bandar dan wilayah/pembangunan komuniti Universiti Putra Malaysia (UPM) proses yang dibuat badan bebas itu dapat menggambarkan pengalaman sebenar orang ramai.

PLC Gs Ts Dr Mohammad Mujaheed Hassan memberitahu penilaian tersebut tidak harus tertumpu kepada petunjuk prestasi utama (KPI) seperti tempoh respons atau tahap pematuhan semata-mata.

Pensyarah Perancang Bandar dan Wilayah/Pembangunan Komuniti, Dr Mohammad Mujaheed Hassan di UPM, Serdang pada 11 Mac 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Tetapi kita perlu lihat sama ada prestasi di atas kertas itu sebenarnya diterjemah kepada kepuasan rakyat,” katanya kepada Media Selangor.

Selangor mahu mengadakan tinjauan bagi menilai tahap kepuasan orang ramai terhadap PBT yang akan dijalankan badan bebas pada tahun depan bagi memperkasa perkhidmatan agensi tersebut.

Penilaian mengambil kira perbezaan kategori dan skop pentadbiran PBT. Badan bebas itu akan menentukan mekanisme termasuk penyediaan soalan, pemilihan sampel dan indikator sesuai.

Menurut Dr Mohammad Mujaheed, dapatan itu tidak harus digunakan bagi menentukan kedudukan prestasi sebaliknya asas mengenal pasti jurang perkhidmatan dan hal yang perlu ditambah baik.

“Tinjauan ini bukan untuk mencari PBT mana yang paling teruk atau sekadar menghasilkan kedudukan tetapi mengenal pasti jurang perkhidmatan dan apa yang perlu diperbaiki,” katanya.

Katanya, hasil kajian perlu diterjemah kepada tindakan sebelum penilaian susulan dijalankan selepas tempoh tertentu bagi menentukan sama ada langkah penambahbaikan benar-benar berkesan.

Beliau menjelaskan penilaian yang dijalankan sekali sahaja memberi gambaran pada satu-satu masa sedangkan tinjauan berkala membantu tahap kepuasan dijejak dari tahun ke tahun.

“Kalau dibuat secara berkala dengan metodologi yang konsisten, kita boleh melihat sama ada kepuasan rakyat semakin meningkat atau menurun setiap tahun,” katanya.

Dr Mujaheed berkata penilaian prestasi juga perlu melihat dimensi seimbang iaitu keupayaan PBT melaksanakan tanggungjawab dan pengalaman sebenar rakyat yang menerima perkhidmatan.

“Rakyat tidak begitu mengambil berat siapa yang dipertua (YDP) atau berapa kali YDP bertukar, rakyat mahu jalan yang elok, sampah dikutip, longkang diselenggara, lampu berfungsi dan apabila mereka membuat aduan, ada tindakan.

“Kepimpinan memang penting tetapi penyampaian perkhidmatan tidak boleh terlalu bergantung kepada seorang individu. Sistem itu sendiri perlu kukuh dan boleh terus berfungsi dengan berkesan walaupun berlaku pertukaran kepimpinan,” katanya.

QUOTE

"Kita faham kalau pihak mereka (PBT) tak dapat nak penuhi semua aduan, tapi kadang-kadang maklum balas daripada aduan rakyat itu kurang memuaskan bila sekadar beritahu sedang berusaha tapi tak nampak tindakan sewajarnya.” - Faris Zulkifle, 32, akauntan

Faris Zulkifle, 32, akauntan

"Kesedaran orang ramai tentang fungsi PBT dan saluran aduan juga masih perlu dipertingkat supaya lebih mudah untuk masyarakat tahu ke mana mereka mahu salur masalah. Program town hall juga perlu diuar-uar dengan meluas, jadi orang awam boleh suarakan pandangan mereka.” - Aqmalia Souhkri, 35, pereka grafik

Aqmalia Souhkri, 35, pereka grafik

"PBT yang baik adalah PBT yang sentiasa responsif terhadap keperluan, aduan dan maklum balas penduduk di samping mengambil tindakan pantas dalam menilai setiap aduan serta membuat keputusan secara lebih cekap.” - Mohamad Fairuz Mohamad Razali, 42, akauntan

Mohamad Fairuz Mohamad Razali, 42, akauntan

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.