Seorang maut, dua hilang helikopter TNI terhempas ketika operasi padam kebakaran hutan

4 Nov 2026, 2:00 PM
Seorang maut, dua hilang helikopter TNI terhempas ketika operasi padam kebakaran hutan

JAKARTA, 4 NOV: Seorang maut manakala dua lagi hilang selepas helikopter Mi-17V5 milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) terhempas ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran hutan di Kalimantan Tengah, Indonesia, pada Rabu.

Jabatan Penerangan TNI AD berkata helikopter yang dinaiki lapan kru itu terhempas di perairan Sungai Perlu, Danau Sembuluh, Seruyan, ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran di kawasan Taman Nasional Tanjung Puting (TNTP) kira-kira 11.18 pagi waktu tempatan.

Helikopter itu berlepas dari Kuala Pembuang pada 9.55 pagi menuju Telaga Pulang sebelum terhempas ketika mengambil air bagi operasi pemadaman kebakaran dari udara (water bombing).

“Seorang kru meninggal dunia dan jenazahnya telah dibawa ke Hospital Kuala Pembuang manakala lima lagi berjaya diselamatkan dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama.

“Dua lagi kru masih hilang. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan oleh pasukan gabungan melalui laluan udara dan air,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan.

Punca nahas masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

TAGS: Indonesia, helikopter, terhempas, mati, kebakaran

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.