Tiada kebakaran sejak 2012, NRES puji usaha Selangor pulihara Hutan Simpan Raja Musa

31 Okt 2026, 2:00 AM
Tiada kebakaran sejak 2012, NRES puji usaha Selangor pulihara Hutan Simpan Raja Musa
Tiada kebakaran sejak 2012, NRES puji usaha Selangor pulihara Hutan Simpan Raja Musa
Tiada kebakaran sejak 2012, NRES puji usaha Selangor pulihara Hutan Simpan Raja Musa
Tiada kebakaran sejak 2012, NRES puji usaha Selangor pulihara Hutan Simpan Raja Musa

KUALA SELANGOR, 31 OKT: Usaha berterusan Selangor mencegah kebakaran dan memulihara Hutan Simpan Raja Musa menunjukkan hasil apabila tiada kebakaran tanah gambut dilaporkan di kawasan itu sejak 2012.

Pencapaian itu mendapat pujian Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainuddin yang kagum dengan kesungguhan Kerajaan Negeri melaksanakan langkah pencegahan bagi melindungi kawasan hutan berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin ditemui media selepas Lawatan Ke Hutan Simpan Raja Musa Selangor pada 20 Oktober 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Sejak 2012 sampai sekarang, saya sangat kagum dengan usaha-usaha pencegahan yang diambil secara bersungguh-sungguh oleh Kerajaan Negeri dan ia membuahkan hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Hutan Simpan Raja Musa pada 20 Oktober lalu bagi meninjau pelaksanaan program pemuliharaan dan pengurusan hutan di kawasan berkenaan.

Hadir sama Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Azhar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin (Empat dari kanan) selepas majlis menanam pokok ketika Lawatan Ke Hutan Simpan Raja Musa Selangor pada 20 Oktober 2026. Hadir sama Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Azhar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Hutan Simpan Raja Musa merupakan sebahagian daripada kawasan hutan paya gambut Selangor yang berperanan penting menyerap karbon, mengekalkan biodiversiti dan mengurangkan risiko kebakaran hutan.

Pemuliharaan ekosistem itu turut menyumbang kepada usaha menangani perubahan iklim serta menyokong sasaran negara mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050.

Mengulas langkah pencegahan, Azhar berkata Hutan Simpan Raja Musa mempunyai keluasan kira-kira 35,656 hektar, manakala keseluruhan kawasan hutan paya gambut di Selangor meliputi sekitar 83,147 hektar.

Menurutnya, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor melaksanakan pelbagai langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko kebakaran, termasuk pembinaan terusan sekatan air (check dam), penyelenggaraan sistem saliran dan penyediaan jalur pemisah kebakaran (firebreak).

Pengarah Perhutanan Neger Selangor Azhar Ahmad ditemui media selepas Lawatan Ke Hutan Simpan Raja Musa Selangor pada 20 Oktober 2026 . Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Langkah itu penting kerana tanah gambut yang terlalu kering mudah terbakar, sekali gus berpotensi menyebabkan kebakaran sukar dikawal dan menjejaskan kualiti udara,” katanya.

Selain berfungsi sebagai penyimpan karbon, hutan paya gambut itu turut menjadi habitat pelbagai spesies flora dan fauna. Antara hidupan liar yang pernah dikesan di Hutan Simpan Raja Musa ialah beruang matahari, tapir dan harimau kumbang.

Dalam perkembangan berkaitan, Saipolyazan berkata Hutan Simpan Raja Musa turut menjadi elemen penting dalam cadangan pengiktirafan Anjung Utara Selangor sebagai Rizab Biosfera di bawah Program Manusia dan Biosfera UNESCO (UNESCO Man and the Biosphere).

Beliau berkata inisiatif yang melibatkan kawasan Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor itu bertujuan mengimbangi usaha pemuliharaan alam sekitar dengan pembangunan sosioekonomi setempat, termasuk aktiviti pertanian dan pelancongan lestari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Saipolyazan M Yusop ketika ditemui media selepas Lawatan Ke Hutan Simpan Raja Musa Selangor pada 20 Oktober 2026 . Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Dokumen pencalonan yang disediakan sejak 2024 dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah dikemukakan kepada UNESCO untuk penilaian, dengan sasaran pengiktirafan pada Julai 2027,” jelasnya.

Orang ramai turut diseru memainkan peranan menjaga kawasan hijau serta mengelakkan pencerobohan dan pembakaran terbuka bagi memastikan khazanah alam terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor bersama agensi Persekutuan akan meneruskan usaha pemuliharaan bagi memastikan kelestarian hutan dan keseimbangan ekosistem terus terpelihara.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.