JAKARTA, 19 OKT: Indonesia bakal menguji penggunaan ais kering (dry ice) bagi menangani jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan selama beberapa bulan di Kalimantan dan Sumatera.
Operasi itu akan memberi tumpuan awal di Palangka Raya, Kalimantan Tengah bagi membolehkan Lapangan Terbang Tjilik Riwut kembali beroperasi selepas penerbangan terjejas akibat jarak penglihatan terhad.
Menteri Kehutanan Indonesia, Raja Juli Antoni berkata, bekalan ais kering sudah dikenal pasti dan dijangka tiba hari ini sebelum operasi dimulakan.
“Pembekalnya sudah dikenal pasti di Kalimantan dan Insya-Allah, mulai tengah hari esok (19 Oktober) bekalan itu akan tiba. Operasi menggunakan ais kering akan dimulakan ke arah Palangka Raya bagi membuka semula Lapangan Terbang Tjilik Riwut terlebih dahulu,” katanya dipetik Kompas.com semalam.
Menurutnya, kaedah itu merupakan antara pendekatan alternatif yang sedang dibangunkan kerajaan bagi mengurangkan kesan jerebu, namun keberkesanannya masih dalam peringkat ujian.
Penggunaan ais kering sebelum ini pernah dikaji Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia bersama pihak dari Thailand, dengan percubaan di Kalimantan Tengah bakal menjadi medan penilaian lanjut.
Krisis kebakaran hutan yang berpanjangan itu bukan sahaja mencetuskan pencemaran udara sehingga menjejaskan kesihatan penduduk, khususnya masalah pernafasan, malah memaksa beberapa sekolah beralih kepada pembelajaran jarak jauh (PJJ).
Operasi penerbangan turut terganggu akibat jarak penglihatan terhad, sekali gus mendorong kerajaan mempergiat usaha menangani jerebu melalui operasi di udara dan darat.
Sementara itu, Polis Republik Indonesia (Polri) menggerakkan anggota Kor Briged Mobil (Brimob) dari beberapa wilayah bagi membantu operasi pemadaman di kawasan yang terjejas teruk.
Ketua Divisyen Hubungan Masyarakat Polri, Inspektor Jeneral Johnny Eddizon Isir berkata, pengerahan anggota dan kelengkapan sokongan dilaksanakan mengikut keperluan di lapangan.
Sebelum ini media melaporkan Indonesia bersetuju menerima tawaran bantuan Malaysia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan jerebu rentas sempadan.
Malaysia menawarkan sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 anggota bagi membantu operasi pemadaman, dengan penyelarasan teknikal antara kedua-dua negara sedang dilaksanakan.








