SHAH ALAM, 4 NOV: Seramai 600 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerima Baucar Jom Shopping Deepavali bernilai RM200 seorang bagi meringankan beban perbelanjaan menjelang sambutan perayaan itu.
Wakil rakyatnya, Danial Al-Rashid Haron, berkata manfaat tersebut diberikan melalui pemberian baucar bernilai RM200 seorang, melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan RM12,000.
Menurutnya, pemberian baucar tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu keluarga yang layak mendapatkan barangan keperluan serta membuat persiapan menyambut Deepavali.
"Dalam keadaan kos sara hidup yang kini terus menjadi perhatian, bantuan seperti ini diharap dapat membantu meringankan sedikit perbelanjaan keluarga menjelang musim perayaan," katanya menerusi Facebook.
Sebelum ini, EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu memaklumkan 26,354 baucar Deepavali diagihkan di seluruh Selangor tahun ini, membabitkan peruntukan RM5.27 juta.
Program itu dilaksanakan di semua 56 DUN dari 17 Oktober hingga 7 November. Baucar boleh digunakan untuk membeli barangan di pasar raya terpilih.









