SHAH ALAM, 15 JULAI: Seramai 20 Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2026 menyertai perbincangan meja bulat mengenai isu mobiliti Selangor, malam tadi.
Wakil rakyat Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata, hasil perbincangan termasuk cadangan dan pandangan berhubung usul Pelan Transformasi Mobiliti Selangor akan dibentangkan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).
“Inilah ruang yang perlu dibina untuk anak muda. Bukan sekadar memberi peluang bersuara, tetapi membawa mereka masuk ke proses sebenar perbincangan dasar, diperhalusi dan akhirnya dilaksanakan.
“Anak muda bukan hanya pewaris masa depan. Mereka juga perlu menjadi sebahagian daripada pembuat keputusan hari ini,” katanya di Facebook.
Beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap komitmen ADN Muda berkenaan yang memilih melibatkan diri dalam proses membina dasar dan polisi negeri.
“Ketika ramai anak muda seusia mereka sedang sibuk membina kerjaya dan mengejar cita-cita masing-masing, mereka memilih meluangkan masa memikirkan masa depan Selangor.
“Meneliti isu, berdiskusi, mencabar idea dan mencari penyelesaian yang boleh memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Sesi berkenaan turut disertai pegawai EXCO, pegawai kanan agensi dan ahli majlis yang bertindak sebagai mentor selain berkongsikan pengalaman mereka sepanjang terlibat dalam pentadbiran dan pelaksanaan dasar.
Awal bulan ini, Program ADN Muda Selangor dilangsungkan selama dua hari melibatkan 56 belia yang dipilih daripada 232 permohonan.
Program yang diperkenalkan sejak 2014 itu bertujuan memberi pendedahan kepada belia berusia antara 18 hingga 35 tahun mengenai proses demokrasi, penggubalan dasar serta perjalanan sidang DNS.









