SHAH ALAM, 26 APRIL: Permohonan bantuan baik pulih dan naik taraf infrastruktur sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dibuka bermula 15 April hingga 15 Mei ini.
Wakil rakyatnya, Danial Al-Rashid Haron berkata inisiatif Kerajaan Negeri itu bertujuan memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk murid serta guru.

“Saya menggalakkan semua pihak sekolah yang memerlukan untuk mengambil peluang ini demi meningkatkan kemudahan dan kualiti pendidikan di kawasan kita,” katanya menerusi Facebook.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://akses.selangor.gov.my/
Tahun lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM26.624 juta bagi program bantuan sekolah khusus untuk kerja baik pulih infrastruktur.
Peruntukan itu memberi manfaat kepada 873 sekolah melibatkan tujuh kategori termasuk sekolah agama rakyat di seluruh Selangor.







