JPS Selangor lancar e-CP, bayaran caruman parit secara dalam talian

13 Feb 2026, 2:00 AM
JPS Selangor lancar e-CP, bayaran caruman parit secara dalam talian
JPS Selangor lancar e-CP, bayaran caruman parit secara dalam talian
JPS Selangor lancar e-CP, bayaran caruman parit secara dalam talian

SHAH ALAM, 13 FEB: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor melancarkan Sistem Pembayaran Caruman Parit Secara Dalam Talian atau e-CP, sekali gus memperkasakan penyampaian perkhidmatan digital kepada rakyat dan pihak berkepentingan.

Pengarah JPS Selangor, Dato’ Ir Mohd Nazri Yasmin berkata sistem yang diperkenalkan buat pertama kali itu menggantikan kaedah pembayaran manual kepada platform digital yang lebih sistematik dan telus.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan selari dengan pelaksanaan Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) Kerajaan Negeri yang menekankan kecekapan serta penggunaan teknologi dalam urusan rasmi kerajaan.

"Pembangunan e-CP ini dibangunkan bagi menukar kaedah konvensional kepada satu platform digital yang berorientasikan hasil (outcome-based).

Pengarah Jabatan Pengairan Saliran Selangor, Dato' Ir. Mohd Nazri Yasmin berucap ketika Program Hari Teknikal dan Innovasi Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor 2026 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Februari 2026. HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

"Ia bukan sahaja memudahkan urusan pembayaran caruman, malah meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat dan pihak berkepentingan demi memastikan tata kelola yang lebih cekap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Hari Teknikal dan Inovasi JPS Selangor di Bangunan SUK di sini, semalam. Hadir sama EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim.

Caruman Parit adalah bayaran yang dikenakan kepada pemaju bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan sistem saliran serta infrastruktur tebatan banjir di kawasan pembangunan baharu.

Sebelum ini, urusan pembayaran sering memerlukan kehadiran fizikal dan proses manual yang memakan masa.

Pada majlis sama, JPS Selangor turut melancarkan Dashboard Projek Mitigasi Banjir bagi membolehkan orang awam memantau status projek tebatan banjir di negeri ini.

EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim (tengah) melawat reruai pameran selepas merasmikan Program Hari Teknikal dan Innovasi Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor 2026 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Februari 2026. HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR