SHAH ALAM, 17 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memperbaharuai memorandum persefahaman (MoU) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi menyokong pengurusan sumber air serta persediaan mendepani cuaca ekstrem.
MoU dimeterai untuk tempoh empat tahun itu akan memfokus kepada penyaluran data stesen telemetri hujan kedua-dua pihak untuk dimasukkan ke portal Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Air Bersepadu (IWRIMS).
Menurut LUAS, data Ramalan Cuaca Berangka (NWP) serta data radar termasuk Sistem Kini-Ramal Bersepadu Radar (RaINS) dan Sistem Anggaran Taburan Hujan (MyRAE) turut disalurkan kepada Sistem Pemantaun Pintar LUAS.
“Pelaksanaan kerjasama ini membolehkan maklumat hujan, cuaca dan radar daripada kedua-dua agensi digunakan secara bersepadu dalam pemantauan serta simulasi pemodelan.
“Data meliputi rekod stesen telemetri di Lembangan Sungai Selangor, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Klang, termasuk stesen telemetri hujan LUAS serta stesen meteorologi MetMalaysia,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut agensi itu lagi, maklumat diselaraskan di IWRIMS dan LiSS akan meningkatkan keupayaan operasi serta menyokong keputusan lebih tepat dan berasaskan keadaan semasa.
Selain itu, LUAS dapat menambah baik tindakan mengawal selia dan mengurus air termasuk pengoptimuman penggunaan sumber sungai dan kolam serta menyelara pelepasan empangan bagi memenuhi keperluan bekalan air mentah di muka sauk kawasan hilir.
“Usaha ini turut menyokong pemeliharaan kualiti dan kuantiti sumber air negeri pada tahap optimum selain penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi fenomena El Nino.
“Dengan tersedianya maklumat meteorologi dan hidrologi yang lebih menyeluruh, tindakan pemantauan, perancangan dan pengurusan sumber air dapat dilaksanakan secara cekap, responsif dan bersepadu demi menjamin kelangsungan bekalan air di Selangor,” katanya.








