Banjir Kampung Melayu Subang berpunca limpahan sungai, lot lidi bukan punca utama

3 Nov 2026, 10:55 AM
Banjir Kampung Melayu Subang berpunca limpahan sungai, lot lidi bukan punca utama
Banjir Kampung Melayu Subang berpunca limpahan sungai, lot lidi bukan punca utama

SHAH ALAM, 3 NOV: Pembangunan lot lidi bukan punca utama banjir kilat di Kampung Melayu Subang, sebaliknya kejadian berpunca daripada limpahan sungai susulan hujan lebat luar biasa.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim berkata taburan hujan yang tinggi menyebabkan paras air Sungai Pelempas dan Sungai Damansara meningkat sehingga melimpah ke kawasan perumahan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak pembangunan lot lidi tidak terancang turut menyumbang kepada masalah saliran di beberapa kawasan.

Menurutnya, terdapat kawasan yang hampir tiada sistem perparitan menyebabkan air hujan sukar mengalir keluar, terutama ketika paras air sungai meningkat.

“Kalau kita tengok, ada beberapa kawasan saluran longkangnya hampir tiada. Jadi, mereka hanya mengharapkan longkang yang telah dibina ketika waktu dulu, menyebabkan air tidak boleh disalurkan ke mana-mana.

“Jadi, lot lidi ini bukan punca utama, tetapi boleh dikatakan antara faktor, cuma sumbangannya tidak terlalu besar berbanding limpahan air sungai,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak di media sosial bahawa lot lidi menjadi punca kepada berlakunya banjir kilat di kawasan berkenaan banjir kilat itu menjejaskan kira-kira 92 rumah di empat kawasan.

Menurutnya, air dari kawasan sekitar yang sepatutnya mengalir ke sungai juga tidak dapat disalurkan berikutan paras air sungai yang sudah tinggi.

Beliau berkata isu pembangunan lot lidi sudah beberapa kali dibangkitkan olehnya serta beberapa ADN sebelum ini.

Katanya, pembangunan lot lidi sukar dikawal kerana dilakukan tanpa perancangan infrastruktur sewajarnya, termasuk penyediaan sistem perparitan yang perlu disemak pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kalau membina rumah, biasanya kita perlu menghantar reka bentuk kepada PBT untuk semakan termasuk kedudukan longkang dan sebagainya.

“Tetapi apabila berlaku pembangunan lot lidi, mereka hanya membina rumah tanpa menyediakan infrastruktur yang sepatutnya dan akhirnya memberikan impak serta kesan kepada penduduk dalam jangka masa panjang,” katanya.

Mengulas persediaan menghadapi hujan lebat susulan Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga hujung minggu, beliau berkata kerjasama dengan pelbagai agensi diperkukuh bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan segera.

Agensi terbabit termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pejabat Daerah dan Tanah.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan projek tebatan banjir bernilai kira-kira RM500 juta di Kampung Melayu Subang dipercepat bagi menangani kejadian banjir berulang di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, projek membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri itu sudah diluluskan, namun pelaksanaannya perlu disegerakan terutama di kawasan yang beberapa kali dilanda banjir.

Semalam, banjir kilat melanda Kampung Melayu Subang susulan hujan lebat dengan taburan sehingga 116.5 milimeter (mm) dalam tempoh kira-kira sejam, menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan kediaman penduduk.

Kejadian itu menjejaskan kira-kira 92 rumah di empat kawasan iaitu Lorong Merbau (30 rumah), Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima) dan Jalan Jati (50). Paras air dilaporkan mencecah sehingga satu meter di kawasan kediaman penduduk.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.