Hujan ekstrem lebih 100mm dijangka hingga hujung minggu, tingkat risiko banjir kilat

4 Nov 2026, 2:00 AM
Hujan ekstrem lebih 100mm dijangka hingga hujung minggu, tingkat risiko banjir kilat
Hujan ekstrem lebih 100mm dijangka hingga hujung minggu, tingkat risiko banjir kilat
Hujan ekstrem lebih 100mm dijangka hingga hujung minggu, tingkat risiko banjir kilat
Hujan ekstrem lebih 100mm dijangka hingga hujung minggu, tingkat risiko banjir kilat
Hujan ekstrem lebih 100mm dijangka hingga hujung minggu, tingkat risiko banjir kilat

SHAH ALAM, 3 NOV: Hujan ekstrem dengan taburan melebihi 100 milimeter (mm) dijangka berterusan setiap petang di Lembah Klang sehingga hujung minggu ini, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat di kawasan terjejas.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan sama turut dijangka berlaku di negeri lain termasuk Perlis dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, hujan ekstrem direkodkan sejak 17 Oktober lalu dengan taburan 122mm, diikuti 130mm pada 21 Oktober dan 118mm semalam, masing-masing dalam tempoh dua hingga tiga jam.

"Taburan hujan biasa ialah 20mm dan bagi hujan lebat pula 50mm. Banjir kilat yang berlaku di Kampung Melayu Subang kerana hujan agak lebat yang berlaku di Lembah Klang dan juga negeri Barat Semenanjung sebenarnya dari Perlis sampai ke Negeri Sembilan.

"Keadaan ini disebabkan Monsur Timur Laut yang bermula 29 Oktober lalu dan sejak itu kita tengok angin dari timur bertiup agak perlahan antara 10 ke 20 kilometer sejam dan disertai banyaknya kelembapan udara.

"Apabila udara lembap, angin pun tidak berapa kuat ini menggalakkan pembentukan awan hujan yang datang sekali dengan ribut petir. Itu yang berlaku dan dijangka situasi berkekalan sehingga hujung minggu ini dan setiap petang," katanya kepada Media Selangor.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip ketika rakaman program Bicara Semasa pada 3 April 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk supaya sentiasa berjaga-jaga dan memastikan longkang di kediaman masing-masing tidak dipenuhi sampah atau tersumbat.

"Bersihkan longkang atau sistem saliran yang tersumbat, banyak pasir atau dipenuhi daun...itu kena bersihkan. Selain itu pastikan dokumen di simpan di tempat selamat," katanya.

Semalam, hujan lebat dengan taburan sehingga 116 mm mengakibatkan banjir kilat di Kampung Melayu Subang dengan paras air dilaporkan mencecah kedalaman satu meter di kawasan kediaman penduduk.

Kejadian itu menjejaskan kira-kira 92 rumah di empat kawasan iaitu Lorong Merbau (30 rumah), Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima) dan Jalan Jati (50).

Situasi itu memerlukan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Siantan dan Dewan Resak Subang Perdana dengan masing-masing menempatkan dua keluarga berdasarkan maklumat awal.

Perdana Menteri yang melawat mangsa banjir di PPS tengah hari tadi mengarahkan projek tebatan banjir bernilai kira-kira RM500 juta di Kampung Melayu Subang dipercepat bagi menangani kejadian banjir berulang di kawasan berkenaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri itu sudah diluluskan, namun pelaksanaannya perlu disegerakan terutama di kawasan yang beberapa kali dilanda banjir.

Menurutnya, projek berkenaan merangkumi pelebaran sungai, pembinaan kolam takungan tambahan dan kerja tebatan banjir lain termasuk mengorek sungai yang kontraknya sudah diluluskan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.