Jerebu berpotensi berakhir minggu depan susulan perubahan angin

20 Okt 2026, 10:00 AM
Jerebu berpotensi berakhir minggu depan susulan perubahan angin
Jerebu berpotensi berakhir minggu depan susulan perubahan angin
Jerebu berpotensi berakhir minggu depan susulan perubahan angin
Jerebu berpotensi berakhir minggu depan susulan perubahan angin
Jerebu berpotensi berakhir minggu depan susulan perubahan angin

SHAH ALAM, 20 OKT: Jerebu yang melanda Malaysia ketika ini diramal beransur pulih minggu hadapan apabila arah tiupan angin yang bertiup ke Semenanjung dijangka berubah dari barat daya ke timur laut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata jangkaan tersebut bagaimanapun masih boleh berubah berikutan tempoh ramalan yang masih panjang iaitu melebihi lima hari.

“Berdasarkan data ramalan terkini, masalah jerebu berpotensi berakhir pada minggu hadapan apabila arah tiupan angin yang bertiup ke Semenanjung dijangka berubah dari barat daya ke timur laut.

“Namun, maklumat boleh berubah memandangkan tempoh ramalan yang masih panjang iaitu melebihi lima hari,” katanya kepada Media Selangor.

Dr Mohd Hisham menambah, masalah jerebu berpotensi untuk kembali ke negara ini sekiranya angin menolak dari arah barat daya, iaitu bergerak dari Indonesia ke Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip ketika rakaman program Bicara Semasa pada 3 April 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, fasa peralihan monsun yang bermula pada 9 Oktober lalu juga dijangka berakhir dengan permulaan musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula minggu hadapan.

“Potensi jerebu untuk kembali ke negara ini masih ada sekiranya angin datang dari arah barat daya, iaitu bergerak dari Indonesia ke Malaysia.

“Kita berharap semoga angin timur laut akan berkekalan mulai minggu hadapan agar masalah jerebu rentas sempadan ini berakhir,” katanya.

Sementara itu, MetMalaysia menerusi Facebook memaklumkan sedang melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di beberapa negeri dan lokasi terpilih bermula Isnin bagi meningkatkan taburan hujan.

Menurut MetMalaysia, operasi itu dijalankan di Johor pada 19 dan 20 Oktober, 21 hingga 23 Oktober operasi berkenaan akan dilaksanakan di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Operasi tersebut dilakukan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Sama-sama kita doakan agar operasi ini berjalan lancar dan membawa rahmat buat bumi bertuah ini.

“Orang ramai digalakkan mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini menerusi aplikasi myCuaca atau laman web rasmi MET Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, NADMA dengan kerjasama MetMalaysia dan TUDM melaksanakan OPA di Sarawak, Kedah dan Perlis dari 3 hingga 5 September lalu susulan keadaan jerebu yang semakin teruk, terutamanya di Sarawak.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.