Indeks UV capai tahap ekstrem, orang ramai dinasihat kurangkan aktiviti luar

6 Ogos 2026, 10:11 AM
Indeks UV capai tahap ekstrem, orang ramai dinasihat kurangkan aktiviti luar

SHAH ALAM, 6 OGOS: Beberapa kawasan merekodkan bacaan Indeks Sinaran Ultraungu (UV) pada tahap sangat tinggi dan ekstrem hari ini, sekali gus meningkatkan risiko pendedahan kepada sinaran matahari yang boleh menjejaskan kesihatan.

Susulan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan orang ramai mengehadkan aktiviti luar, terutama antara jam 11 pagi hingga 4 petang, apabila keamatan sinaran UV lazimnya berada pada tahap maksimum.

Berdasarkan semakan di laman sesawang MetMalaysia, Kota Kinabalu merekodkan bacaan UV pada tahap ekstrem, manakala Sibu, Kota Bharu, Senai, Bayan Lepas dan Petaling Jaya berada dalam kategori sangat tinggi.

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, Indeks UV ialah petunjuk keamatan sinaran ultraungu daripada matahari yang boleh memberi kesan terhadap kesihatan, terutama kulit dan mata.

"Apabila Indeks UV berada pada tahap sangat tinggi, iaitu bacaan lapan hingga 10 atau ekstrem iaitu 11 ke atas, kulit yang terdedah boleh mengalami kerosakan dalam tempoh yang singkat sekiranya tiada perlindungan.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar terutama antara jam 11 pagi hingga 4 petang kerana pada waktu itu sinaran UV lazimnya mencapai tahap maksimum," katanya seperti dilapor Harian Metro, hari ini.

Beliau turut mengesyorkan penggunaan pelindung matahari dengan faktor perlindungan matahari (SPF) 30 atau lebih serta mengulang sapuan mengikut saranan pengeluar.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip. Foto BERNAMA

Selain itu, orang ramai digalakkan memakai pakaian berlengan panjang, seluar panjang, topi bertepi lebar dan cermin mata hitam yang mempunyai perlindungan UV bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada sinaran berbahaya.

"Selain itu, orang ramai perlu mendapatkan perlindungan di kawasan berbumbung atau teduh sekiranya berada di luar dan memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi, terutama ketika cuaca panas.

"Kanak-kanak, warga emas serta individu yang bekerja di luar bangunan adalah antara golongan berisiko tinggi dan perlu mengambil langkah perlindungan yang lebih rapi," katanya.

Mengulas hubungan antara cuaca panas dan bacaan Indeks UV, Mohd Hisham berkata kedua-duanya tidak mempunyai kaitan secara langsung.

"Cuaca panas tidak semestinya menyebabkan Indeks UV menjadi tinggi, begitu juga Indeks UV yang tinggi boleh berlaku walaupun suhu udara tidak terlalu panas.

"Indeks UV dipengaruhi beberapa faktor termasuk kedudukan matahari di langit mengikut waktu dan musim, litupan awan, kandungan ozon di atmosfera, ketinggian sesuatu kawasan serta keadaan atmosfera semasa," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata ketika cuaca panas dengan langit cerah dan litupan awan minimum, lebih banyak sinaran ultraungu dapat menembusi permukaan bumi sekali gus menyebabkan bacaan Indeks UV lazimnya lebih tinggi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk ramalan Indeks UV yang dikeluarkan MetMalaysia menerusi laman sesawang rasmi dan aplikasi myCuaca bagi merancang aktiviti luar dengan lebih selamat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.