Peniaga kenakan caj tersembunyi berdepan denda hingga RM100,000

3 Nov 2026, 10:01 AM
Peniaga kenakan caj tersembunyi berdepan denda hingga RM100,000

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Peniaga yang mengenakan caj tersembunyi atau memaklumkan caj tambahan hanya pada peringkat akhir transaksi boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda hingga RM100,000 bagi kesalahan melibatkan pertubuhan perbadanan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata amalan itu mengelirukan pengguna serta menjejaskan hak mereka untuk mengetahui harga sebenar sebelum membuat keputusan pembelian.

“Ini bermakna pengguna hendaklah dapat melihat harga yang perlu dibayar dan bukan hanya mengetahui kewujudan caj-caj tertentu pada peringkat akhir transaksi,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai tindakan kementerian membendung amalan mengenakan caj tambahan, atau tersembunyi yang hanya dimaklumkan pada peringkat akhir transaksi sehingga harga sebenar melebihi harga dipaparkan atau diiklankan, khususnya dalam sektor perkhidmatan, makanan dan minuman serta urus niaga dalam talian.

Armizan berkata tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 10B(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] yang mewajibkan semua cukai, duti dan caj lain dimasukkan dalam harga barangan atau perkhidmatan yang dipamerkan, diiklankan, disiarkan atau disebut.

Di bawah Seksyen 57 akta sama, pertubuhan perbadanan yang melanggar peruntukan itu boleh didenda hingga RM100,000, manakala individu boleh didenda hingga RM50,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mempunyai punca kuasa di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599], khususnya Seksyen 12(1)(a) Akta 599 yang menjadikan gambaran mengelirukan mengenai harga sesuatu barangan atau perkhidmatan sebagai satu kesalahan.

Seksyen 12(3)(c) akta itu pula memperuntukkan bahawa paparan harga dianggap mengelirukan sekiranya memberikan tanggapan bahawa harga berkenaan merangkumi semua perkara, sedangkan terdapat caj tambahan yang dikenakan secara berasingan.

“Selain itu, Seksyen 9 dan Seksyen 10 akta berkenaan turut melarang perlakuan atau representasi palsu dan mengelirukan berkaitan sifat dan ciri sesuatu barang atau perkhidmatan. Peruntukan ini bukan sahaja meliputi transaksi di premis fizikal, tetapi turut terpakai kepada urus niaga perdagangan secara elektronik.

“Oleh yang demikian, mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan berkaitan, boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 145 Akta 599. Bagi kesalahan oleh pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan hingga RM100,000, manakala bagi individu, denda hingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagi memastikan ketelusan harga, Armizan berkata KPDN melaksanakan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Harga Terangkum, khususnya bagi sektor makanan dan minuman serta transaksi e-dagang dan penghantaran, yang menghendaki harga akhir mengambil kira harga asas, caj perkhidmatan dan caj penghantaran sebelum tempahan disahkan.

Beliau berkata kementerian turut menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, yang memperuntukkan penyedia perkhidmatan dan premis perniagaan hendaklah mempamerkan senarai perkhidmatan serta caj yang dikenakan dengan jelas, mudah dilihat dan jelas.

“Kementerian akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga mematuhi peruntukan berkaitan penzahiran harga dan menyeru kepada pengguna untuk menyemak harga akhir sebelum membuat pembayaran.

“Ini termasuklah menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya terdapat amalan caj tersembunyi atau percanggahan antara harga yang diiklankan dengan harga yang akhirnya dikenakan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.