SHAH ALAM, 27 JUN: Kerajaan akan menyemak semula kadar kuota tetap diesel bersubsidi bagi beberapa kategori kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan agihan subsidi lebih selaras dengan keperluan operasi sebenar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Kabinet semalam yang meneliti perkembangan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api menerusi mekanisme BUDI Diesel, BUDI95, SKDS dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), lapor Berita Harian.
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan beberapa penambahbaikan dilaksanakan bagi memastikan maklum balas rakyat diambil kira, di samping mengimbangi aspek kos sara hidup, pengurusan risiko ketirisan serta kedudukan fiskal negara.
Beliau berkata demikian selepas program turun padang sempena pelaksanaan BUDI Diesel di Presint 18, Putrajaya, hari ini.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan semalam memaklumkan akses awal BUDI Diesel di Semenanjung bermula hari ini, yang menyaksikan diesel bersubsidi dijual RM2.15 seliter menggunakan pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian, manakala pelaksanaan penuh bermula Rabu ini di seluruh negara dengan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter kepada rakyat Malaysia yang layak.
Selain itu, penerima sedia ada BUDI Diesel Individu yang sudah menerima bantuan tunai RM400 pada awal bulan ini turut boleh membeli diesel pada harga bersubsidi melalui pengesahan MyKad sepanjang tempoh akses awal.
Armizan berkata, di bawah penambahbaikan itu dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Ogos depan, pelarasan kuota diesel di bawah SKDS tidak lagi berdasarkan purata penggunaan mengikut jenis kenderaan, sebaliknya mengambil kira beberapa faktor teknikal.
"Antara faktor akan dinilai ialah berat dengan muatan (BDM), kapasiti enjin, kategori lori, tahap penggunaan bahan api dan pola operasi setiap kenderaan.
"Ada kenderaan jenis pengangkutan sama tetapi BDM berbeza, jika sebelum ini jenis pengangkutan itu ada kuota tetap yang sama tetapi dari segi penggunaan, kita tahu kenderaan BDM lebih besar dari segi berat, saiz dan muatannya, maka penggunaan bahan api itu akan lebih tinggi.
"Jadi semalam Kabinet membuat keputusan kita buat pelarasan kuota tetap bukan hanya melihat kepada purata penggunaan sebelum ini, kita ada rekod dan lihat faktor teknikal lain supaya kuota itu lebih bertepatan dengan tanggungan kos operasi syarikat terbabit dengan pengangkutan barangan keperluan penggunaan," katanya.
Armizan berkata, pelarasan kuota itu penting kerana kuota bagi syarikat pengangkutan dikemas kini pada hari terakhir setiap bulan sebelum dikuatkuasakan pada hari pertama bulan berikutnya.
Mengulas pelaksanaan SKDS di Sabah, Sarawak dan Labuan, Armizan menggesa semua syarikat yang layak, termasuk 23 kategori pengangkutan barangan dan 10 kategori pengangkutan awam segera mengemukakan permohonan sebelum Selasa ini bagi membolehkan mereka menikmati subsidi serta layak menuntut bayaran balik jika kelulusan masih dalam proses.
"Kerajaan memberi ruang tuntutan bayaran balik, namun syaratnya permohonan SKDS mesti dikemukakan selewat-lewatnya 30 Jun.
"Mereka yang memohon selepas tarikh itu tidak layak membuat tuntutan bayaran semula," katanya.
Sementara itu, Armizan berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian jenis jip dan pikap yang layak di bawah BUDI Diesel boleh memohon tambahan kuota 100 liter, menjadikan jumlah keseluruhan kuota kepada 300 liter berbanding kuota asas 200 liter.
Katanya, permohonan tambahan kuota boleh dibuat secara dalam talian atau di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di seluruh negara yang bersedia membantu orang ramai melengkapkan permohonan.
"Malah untuk tujuan ini, pejabat LHDN di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, akan dibuka esok untuk mereka hadir secara fizikal di pejabat," katanya.







