SHAH ALAM, 3 NOV: Seramai 12 peniaga Bazar Deepavali di Lorong Tingkat, Klang dikesan melanggar syarat lesen dalam pemeriksaan mengejut oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), baru-baru ini.
MBDK memaklumkan kesalahan dikenal pasti apabila pemegang lesen gagal berada di tapak perniagaan ketika pemeriksaan dijalankan, selain terdapat peniaga yang masih dalam proses mendaftarkan pembantu.
Menurutnya, sebanyak 13 Notis Pelanggaran Syarat dikeluarkan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil 38(1) Penjaja (MPK) 2007.
“Pemeriksaan terhadap 22 peniaga mendapati 12 daripadanya gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan.
“Daripada 142 petak disediakan, sebanyak 121 petak membabitkan jualan keperluan perayaan, bunga api, belon dan inai serta penjaja Program Penyusunan Penjaja (3P) sudah beroperasi atau membuat persediaan,” menurut MBDK menerusi Facebook.
Dalam operasi berasingan di Pasar Pagi Taman Klang Utama, empat daripada 45 peniaga yang diperiksa didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.
MBDK memaklumkan dua peniaga tanpa lesen yang enggan memberikan kerjasama diarahkan menghentikan operasi dan beredar serta-merta dari tapak perniagaan.
“Daripada 45 peniaga yang diperiksa, seramai 41 orang memiliki lesen sah, manakala empat lagi didapati berniaga tanpa lesen.
“Tindakan penguatkuasaan diambil termasuk mengarahkan dua peniaga tanpa lesen menutup operasi dan beredar serta-merta,” katanya.
Selain itu, dua kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil 3 Penjaja (MPK) 2007 terhadap kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Operasi berkenaan dilaksanakan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa MBDK bagi memastikan pematuhan syarat lesen serta peraturan di tapak perniagaan.







