KESUMA sedia bantu petugas media terjejas pemberhentian kerja

3 Nov 2026, 6:28 AM
KESUMA sedia bantu petugas media terjejas pemberhentian kerja

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersedia membantu petugas media dan wartawan yang terjejas akibat pemberhentian kerja menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung dakwaan bahawa antara 100 hingga 200 pekerja Utusan Malaysia kemungkinan hilang pekerjaan susulan masalah pengurusan dan kewangan yang dipercayai dihadapi syarikat media berkenaan.

Beliau berkata sekiranya pemberhentian kerja itu benar-benar berlaku, kementerian akan memohon dan meminta syarikat terbabit membuat permohonan bantuan serta semakan kelayakan pekerja yang terjejas di bawah SIP.

“Permohonan faedah SIP boleh dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh kehilangan pekerjaan, dengan syarat memenuhi kelayakan caruman yang ditetapkan serta mengemukakan dokumen sokongan berkaitan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kementerian turut menyediakan beberapa langkah intervensi lain bagi membantu pekerja yang terkesan.

“Saya sudah sediakan enam langkah yang kita akan ambil dan saya akan berkongsi dengan Yang Berhormat Pulai untuk kita sama-sama melihat apakah fungsi yang akan dimainkan oleh pihak kementerian,” katanya.

Semalam, Media Mulia dilaporkan sedang melaksanakan penstrukturan semula perniagaan bagi menyesuaikan operasi dengan perubahan industri media ke arah digital, yang menyaksikan kira-kira 100 pekerja dan wartawan Utusan Malaysia serta Kosmo dijangka terjejas

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.